Sejarah baru industri sawit negara tercipta hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hari ini harga minyak sawit mentah (MSM) telah mencatatkan rekod harga yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga MSM telah mencecah RM4,247.50 satu tan semalam dan dipercayai akan terus meningkat.

Menurutnya, harga MSM berpotensi untuk terus kekal tinggi berdasarkan kepada sentimen pasaran yang positif ketika ini iaitu paras stok yang rendah, peningkatan eksport minyak sawit dan pengukuhan harga minyak kacang soya di pasaran dunia.

- Advertisement -

“Dalam apa situasi sama ada naik atau turun, kita hendaklah sentiasa bersyukur.

“Dengan kenaikan ini sudah pasti memberikan senyuman gembira kepada pekebun kecil dan yang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau, petang tadi.

Beliau menambah, usaha yang berterusan daripada pihak kerajaan dan kementerian bagi memastikan rakyat mendapat manfaat.

“Teruskan usaha. Pasti hasilnya kita nikmati., insya-Allah. Sememangnya ‘Sawit Anugerah Tuhan’,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Semalam, beliau memaklumkan harga MSM pada 12 Mac lalu adalah pada paras RM4,193 permetrik tan yang merupakan harga tertinggi sejak 13 tahun iaitu Mac 2008 lalu.

Berikutan itu , kata beliau harga buah tandan segar (BTS) di Semenanjung melepasi paras RM900 satu tan sedangkan setahun dahulu hanya sekitar RM300 sahaja. – HARAKAHDAILY 16/3/2021

- Advertisement -