
SIMPANG RENGGAM : Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Johor.
Pelantikan itu dibuat dalam satu Mesyuarat Pemuda PN Negeri Johor yang diadakan di Pejabat Pemuda PAS Negeri Johor, di Simpang Renggam, hari ini.
Demikian dinyatakan Pemuda PN Johor dalam satu kenyataan bertarikh 16 Mac 2021 yang ditandatangani sendiri oleh Ustaz Ahmad Nawfal.
Tambah kenyataan itu, selain Ustaz Ahmad Nawfal, turut dilantik ialah Muhd Shamsudin Paijan sebagai Timbalan Ketua Pemuda, Fauzi Che Ahmad sebagai Setiausaha, Mohammad Iqbar Abdul Rani sebagai Bendahari dan Ustaz Mohamad Azlan Alias sebagai Ketua Penerangan.

Empat orang lagi Ahli Jawatankuasa turut dilantik iaitu Faizal Rizal Abd Hamid, Muhamad Zulfadhli Zulkifly, Mohd Firdaus Jaffar dan Mohamad Syafiq Mohd Khairul Sam, kata kenyataan itu lagi.
“Mesyuarat ini juga turut membincangkan program bersama Pemuda Perikatan Nasional Negeri dengan memberi fokus kepada perkhidmatan dan kebajikan kepada masyarakat.
“Dengan terbentuknya Jawatankuasa Pemuda Perikatan Nasional Negeri Johor, insya-Allah segala program dan perancangan Pemuda PN Johor akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujar kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 16/3/2021











