Kerajaan cadang gubal 11 RUU Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang akan menggubal dan meminda 11 undang-undang syariah bagi tujuan pemerkasaan khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan telah merangka Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2020 hingga 2025.

- Advertisement -

“Dalam Pelan Pemerkasaan ini, kerajaan telah bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama, iaitu termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, dan lapan undang-undang syariah subsidiari.

“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Antara empat cadangan undang-undang syariah baharu dalam proses untuk menggubal termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Wakaf, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, RUU Mufti dan RUU Mahkamah Syariah.

Manakala, tujuh akta sedia ada yang akan dipinda termasuk RUU Pentadbiran Undang-undang Islam, Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah), Kesalahan Jenayah Syariah, Tatacara Jenayah Syariah, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah dan Tatacara Mal Mahkamah Syariah.

Sebelum ini, beliau memaklumkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.

Ini susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac lalu. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -