
BADAN manusia dibentuk oleh sekitar 10 trilion sel dengan pelbagai fungsi. Sedar atau tidak, badan kita turut dihuni oleh 100 trilion sel makhluk bersaiz halus yang terdiri daripada virus, hama, beribu jenis bakteria dan sebagainya yang boleh didapati pada kulit, rongga dan usus kita.
Koloni bakteria pada badan seseorang manusia bersifat unik. Jenis bakteria yang berada di tangan kanan kita, berbeza dari koloni bakteria yang berada di tangan kiri kita. Majoriti pembentukan koloni bakteria pada badan kita bermula sejak kita dilahirkan. Bagaimana cara kita dilahirkan memberi pendedahan awal kepada koloni bakteria yang berkemungkinan besar menghuni badan kita secara kekal.
Diet awal seseorang bayi, sama ada menerima susu ibu atau susu formula menjadi penentu jenis koloni bakteria yang menghuni sistem pencernaannya. Pendedahan kepada persekitaran juga turut memainkan peranan. Bayi yang terdedah kepada persekitaran luar (outdoor), membentuk immuniti badan yang lebih kuat berbanding bayi yang berada di persekitaran yang sentiasa tertutup. Immuniti ini membantu mengurangkan risiko alergi, masalah kulit dan penyakit autoimun di kemudian hari.
Teknologi penjujukan gen (gene sequence technology) memberi gambaran lebih jelas jenis-jenis bakteria yang menghuni usus manusia (gut microbiota). Ternyata terdapat perbezaan yang ketara antara jenis-jenis bakteria yang berkembang biak di dalam usus seseorang yang sihat dan yang sakit. Begitu juga jenis bakteria yang terdapat pada usus seseorang yang mengamalkan pemakanan seimbang dengan seseorang yang mengalami masalah berat badan.
Bakteria baik di dalam usus kita membantu proses percernaan makanan, menghasilkan vitamin dan Asid Amino, meningkatkan keberkesanan beberapa jenis ubatan dan memelihara kesihatan usus serta organ badan yang lain. Lebih mengkagumkan, bakteria ini juga turut menghasilkan 95 peratus Hormon Serotonin yang merangsang perasaan gembira dan mengawal keseimbangan emosi kita.
Pengambilan diet yang tidak seimbang termasuk makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula serta penggunaan antibiotik yang tidak dikawal dengan baik, memusnahkan koloni bakteria di dalam usus. Akibatnya, ketidakseimbangan pertumbuhan bakteria berlaku dan boleh mengundang kepada masalah kesihatan yang serius termasuk menjadi penyebab kepada pertumbuhan beberapa jenis sel kanser, masalah jantung, keradangan dan kemurungan.
Jadi, bagi mengekalkan kesihatan bakteria baik, kita perlu menyediakan persekitaran yang merangsang pertumbuhan bakteria ini dengan cara mengambil pemakanan yang bersifat prebiotic. Makanan ini terdiri dari pelbagai jenis sayuran hijau, bawang merah dan putih, kekacang dan buah-buahan yang menjadi santapan utama bakteria baik di dalam usus kita. Bakteria baik yang gembira, akan berfungsi secara aktif memelihara kesihatan mental dan fizikal kita.
Seketika kita mungkin tertanya, bagaimana kita kekal sihat sedangkan sel makhluk bersaiz halus di badan kita melebihi jumlah sel badan kita sendiri. Zahirkanlah rasa syukur, segala puji bagi Allah yang memelihara kita dari kejahatan dan keburukan makhluk yang terlihat dan tidak terlihat oleh penglihatan kita yang terbatas.
DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park.
Rujukan utama;
Can gut bacteria improve your health? Harvard Health Publishing – https://www.health.harvard.eduHealthy gut, healthy you – A Washington Hospital Channel – HARAKAHDAILY 14/3/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











