
KUALA LUMPUR: Sejujurnya kenyataan bersama Muafakat Nasional (MN) pada 10 Mac lalu mengenai polemik perundangan negara sangat tepat pada waktunya, kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya.
Beliau berkata, pengukuhan kerjasama MN sangat penting kepada kestabilan politik kerajaan dan ini adalah kunci utama menghadapi pelbagai krisis semasa khususnya dalam aspek perundangan.
“Sekilas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing yang tidak senang dengan kenyataan bersama MN itu membuktikan pengukuhan politik ada merit untuk membetulkan keadaan ini semula,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kes kalimah Allah baru-baru ini, kata beliau MN telah mendesak kerajaan supaya merayu ke peringkat seterusnya serta meneruskan langkah harmonisasi bidang kuasa perundangan, satu polemik panjang meskipun selepas pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dibuat.
“Apa yang perlu dihairankan jika keputusan ini terus dirayu ke peringkat yang lebih tinggi. Perjuangan ini masih belum selesai,” ujarnya lagi.
Menurutnya, ini boleh dilihat kes Indira Gandhi yang terus dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan walaupun dalam kes Subashini sebelumnya telah jelas keputusan berkenaannya.
Akhirnya, ujar beliau Mahkamah Persekutuan menyebelahi Indira Gandhi dan tidak mengikuti keputusan Subashini.
“Keadaan boleh berubah. Penghakiman ini bukan sahaja mengenai precedent, tetapi juga soal ia mewajahkan Perlembagaan yang menjadi undang-undang tertinggi negara,” katanya lagi.
Tambahnya, selain penghakiman ke peringkat yang lebih tinggi, jalan lain yang ada adalah melakukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, baik melalui akta yang hanya memerlukan majoriti mudah atau dua pertiga bagi pindaan perlembagaan.
“Kesemua pindaan ini perlu dilakukan di Parlimen. Tanpa kedudukan politik yang kukuh, mustahil ia akan dicapai,” ujarnya.
Katanya lagi, penyelesaian polemik perundangan ini turut memerlukan penelitian terhadap tokoh-tokoh perundangan negara.
Tambah beliau, tidak kurang yang mencadangkan supaya hakim-hakim syarie turut diangkat mengadili kes-kes yang mempunyai kepentingan bersama di mahkamah sivil.
“Saya tidak pasti sama ada cadangan ini sudah terlaksana atau tidak kerana bukanlah bidang saya. Sekadar mengulas daripada luar.
“Cuma jauh di sudut hati mengharapkan politik tunjang atas nama Islam dan perpaduan ini terus diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata, ia bukan sekadar penyatuan kerana retorik pilihan raya, tetapi jauh lebih ke depan dan terlalu besar maknanya kepada masa depan negara. – HARAKAHDAILY 12/3/2021











