
KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man optimis beberapa tindakan segera akan diambil menerusi pelbagai agensi berhubung pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor.
Beliau mempengerusikan mesyuarat pembentangan laporan akhir Pasukan Petugas Pencemaran Sungai Kereh daripada Pengoperasian Ladang Penternakan Babi di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, semalam.
“Pasukan petugas ini adalah hasil daripada pertemuan saya dengan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling pada 24 September 2020,” jelas beliau menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Menurutnya, pasukan petugas itu dianggotai oleh 10 agensi persekutuan, negeri dan pertubuhan bukan kerajaan.
Beliau berkata, pasukan petugas telah mengkaji, mencadang dan membuat empat tindakan utama iaitu berkaitan perundangan, pelesenan dan penguatkuasaan, pemantauan, pengukuran dan penyelenggaraan serta komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.
“Insya-Allah, saya optimis beberapa tindakan segera akan diambil menerusi pelbagai agensi di beberapa peringkat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Semalam, Pengerusi Pasukan Petugas Pencemaran Sungai Kereh, Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling, Dato’ Dr Nadzri Yahaya telah membentangkan Laporan Akhir Pencemaran Sungai Kereh daripada Pengoperasian Ladang Ternak Khinzir di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang kepada beliau.
Tujuh langkah telah dibentangkan bagi menangani isu pencemaran itu di peringkat punca dan kualiti air sungai iaitu:
i. Mempertingkatkan penguatkuasaan
ii. Memantau secara berkala kualiti air sisa yang dilepaskan daripada ladang ternakan dan memastikan ianya mematuhi standard yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020.
iii. Melaksanakan projek perintis pemasangan sensor NAHRIM Environmental Sensor System (NUESS) di salah satu ladang khinzir yang terpilih. Ini bertujuan untuk memantau kualiti air yang dilepaskan oleh ladang secara jarak jauh dan beroperasi selama 24 jam bagi setiap ladang. Parameter yang diukur adalah pH, Oksigen Terlarut (DO), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Ammoniakal Nitrogen dan Jumlah Pepejal Terampai (TSS);
iv. Merawat air sisa buangan ternakan khinzir ini di dalam kolam yang dibina khusus di lokasi yang dikenalpasti dengan menggunakan NAHRIM Enzyme (N-zyme) dan bahan flokulasi mesra alam;
v. Mengukur kualiti air sungai pada setiap bulan di empat stesen di sepanjang Sungai Kereh;
vi. Menaiktaraf struktur weir dan membuang enapan sungai di Parit Besar, Parit Kubang Menerong dan Parit Kampung Baharu bagi mengurangkan bebanpencemaran sedimen kepada pencemaran sistem sungai ketika ini; dan
vii. Memperkasakan komuniti melalui Program Denai Sungai Kereh bagi pembersihan, pemuliharaan, pemeliharaan serta perlindungan Sungai Kereh.
Program itu melibatkan sokongan semua agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan penternak. Penglibatan rakan strategik adalah bagi tujuan sokongan peruntukan dan dana juga perlu diberikan galakan dan pengiktirafan.
Pasukan petugas juga mencadangkan agar satu kajian dibuat oleh pihak kerajaan negeri untuk menetapkan kadar sara diri pengeluaran khinzir yang setara dengan daya tampung Sungai Kereh.
Kementerian Alam Sekitar dan Air turut bersetuju Laporan Akhir Pencemaran Sungai Kereh daripada Pengoperasian Ladang Ternak Khinzir di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar perancangan dan pelaksanaan syor di atas dapat dilaksanakan sekali gus memastikan isu pencemaran itu ditangani dengan berkesan dan baik. – HARAKAHDAILY 11/3/2021











