Hukuman-hukuman kerana kesalahan rasuah

DDrMahfodz
Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

TIDAK ada nas dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menetapkan hukuman bagi kesalahan rasuah. Tetapi hukuman itu boleh ditetapkan oleh Ulul Amri atau pemerintah dengan menepati hukum syarak. Satu hukuman yang munasabah yang dipanggil sebagai hukuman takzir iaitu hukuman yang tidak ada nas syarak mengikut pertimbangan Ulul Amri atau hakim dengan mengambil kira keadaan sekeliling sama ada ianya memerlukan hukuman yang berat atau ringan dan melihat kepada situasi seorang sehingga dia sanggup melakukan jenayah tersebut. Dan inilah keadaan kesalahan-kesalahan takzir yang memerlukan kepada hukuman takzir.

Hukuman takzir dijatuhi kepada pelaku-pelaku rasuah kerana ianya melanggar hukum-hukum Allah dan melakukan maksiat kepada Allah.

Penjenayah rasuah itu perlu dikenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan supaya dapat membendung daripada merebaknya gejala rasuah disamping itu dapat membersihkan masyarakat dan negara daripada anasir-anasir rasuah. Lebih-lebih lagi rasuah adalah sebahagian daripada kemungkaran yang wajib dibenteras daripada kehidupan masyarakat bagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah mengubahnya dengan tangannya (kekuasaan).” (Riwayat Muslim dan At-Tarmidzi)

- Advertisement -

Untuk mengubah kemungkaran rasuah dengan tangannya bermakna menjadi tanggungjawab kepada pemerintah untuk menetapkan satu hukuman yang munasabah hingga gejala rasuah itu dapat dibendung.

Hukuman bagi pesalah-pesalah rasuah ialah takzir sama ada dikenakan hukuman denda, penjara, rotan, dipecat atau dihalang daripada menerima hak-hak yang diberikan oleh kerajaan.

Hukuman denda

Kebanyakan ulamak empat mazhab mengharuskan hukuman denda kepada pesalah-pesalah rasuah. Pandangan ini juga yang diikuti oleh Khulafah Ar-Rasyidin dan dikalangan para sahabat-sahabat besar Nabi Muhammad s.a.w. (Alturuk Alhulmiah: 246) berdasarkan kepada dalil-dalil berikutan:

1 – Hadis daripada Salamah bin Al Akra’ menyatakan bahawa Nabi s.a.w telah melihat api menyala-nyala pada hari Khaibar Baginda bersabda: Mengapa api itu menyala. Mereka menjawab, kerana arak yang disukainya Nabi bersabda: pecahkan dan curahkannya. Mereka berkata, kami menjiruskan dan pembasuhan. Nabi bersabda: Hendaklah kamu basuh. (Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa Nabi s.a.w yang memerintahkan supaya pecahkan bazaz tempat arak itu sebagai hukuman yang berbentuk harta benda dan dengan sendirinya menjadi dalil kepada harusnya hukuman denda.

2 – Daripada Ibnu Talhah dia bertanya wahai Nabi Allah, aku telah membeli arak untuk anak-anak yatim di bawah jagaanku. Jawab Nabi s.a.w: tuangkan dan pecahkan tempayan. (Muslim dan Abu Daud)

3 – Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Demi diriku di bawah kekuasaan Allah sungguhnya aku hampir-hampir hendak menyuruh membakar rumah seorang. Baginda menyuruh solat kemudian baginda menyuruh seorang untuk menjadi imam maka hampir hendak membakar rumah mereka.” (Bukhari dan Muslim)

Kedua-dua hadis di atas menegaskan bahawa Nabi s.a.w menghukum tuan punya arak itu dengan memecahkan tempayan bekas arak itu menunjukkan harusnya hukuman denda kepada pesalah-pesalah berkenaan dan juga dengan membakar rumah peminum arak itu sebagai hukuman denda. Sekiranya tidak diharuskan sudah tentu Nabi s.a.w tidak berhasrat untuk membakar rumah mereka.

Jenis-jenis takzir dengan denda

1 – Dengan membinasakan hartanya, sebagai yang dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi bahawa baginda telah memerintahkan supaya memecahkan tempayan bekas arak dan merosakkan alat-alat hiburan.

2 – Merampas harta penjenayah rasuah sebagaimana hukuman Nabi s.a.w kepada orang yang mencuri buah tamar yang masih di pokok dengan membayar denda dua kali ganda harta buah tamar tersebut (Ibnu Tamimah – Al Hisbah)

Hukuman penjara kepada penjenayah rasuah

Hukuman penjara disyariatkan dalam Islam berdasarkan kepada dalil-dalil berikut:

1 – Dalil daripada al-Quran
Firman Allah yang bermaksud: “Dan siapa yang melakukan perbuatan keji (zina) diantara perempuan-perempuan kamu maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajalnya atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).” (An Nisa: 15)

Ayat ini dengan jelas menunjukkan hukuman tahanan di rumah kepada pezina diperkenalkan di zaman awal Islam yang kemudian telah dibatalkan dengan turunnya ayat kedua surah Al Nur.

2 – Dalil daripada As-Sunnah
1 – Riwayat daripada Bahaz bin Hakim bahawa Nabi s.a.w telah menahan seorang lelaki semata-mata kerana tuduhan kepadanya kemudian melepaskannya.” (Abu Yu’la – Al Ahkam As Sultaniah 242)

2 – Riwayat daripada Al Hakim bahawa Nabi s.a.w telah menghukum penjara kepada seorang yang dituduh selama satu hari satu malam (Abu Yu’la Al Ahkam As Sultaniah 242)

Hadis di atas menunjukkan hukuman tahanan atau penjara adalah disyariatkan dalam Islam.

3 – Ijmak para sahabat dan tabi’in di mana Saidina Umar bin Al Khatab, Saidina Usman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah menghukum penjara kepada penjenayah-penjenayah di zaman pemerintahan mereka. (As Syaukani – Nailul AuThor…Jilid 7 160)

Hukuman jilid dan sebatan

Daripada hukuman yang boleh dikenakan kepada penjenayah-penjenayah dalam Islam ialah hukuman jilid atau sebat sebagai hukuman takzir berdasarkan kepada dalil Al-Quran. As Sunnah dan Ijmak Ulamak.

Dalil Al-Quran: Firman Allah yang bermaksud: “Penzina perempuan dan penzina lelaki hendaklah kamu jilid atau sebat setiap seorang daripada keduanya dengan seratus kali jilid.” (An Nur: 2)

Dan firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat.” (An Nur: 4)

Dalam ayat-ayat di atas Allah memerintahkan hukuman jilid (sebat) menunjukkan bahawa hukuman jilid adalah disyariatkan dalam Islam.

Dalil daripada As-Sunnah

Banyak dalil daripada sunah mengenai hukuman sebat atau jilid antaranya hadis daripada Abi Baradah, bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak disebat melebihi sepuluh kali sebatan melainkan pada hudud Allah.” (As Shaukani Jilid 7 158)

Dan hadis Nabi bermaksud: “Suruhlah kanak-kanak kamu menunaikan solat bila berumur tujuh tahun dan pukul mereka (jika tidak solat) jika berumur sepuluh tahun (As Syaukani jilid 1 248)

Hadis yang pertama menunjukkan bahawa hukuman sebat kurang daripada sepuluh kali sebatan adalah sebagai hukuman takzir. Manakala hadis yang kedua menunjukkan bahawa Nabi menyuruh untuk memukul kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun kerana tinggalkan solat dan itu menjadi dalil yang hukuman pukul itu disyariatkan dalam Islam.

Hukum buang kerja

Atau dipecat daripada jawatan yang dipegang dan ekoran daripada itu juga boleh ditarik balik hak-haknya seperti hak pencen dan seumpamanya. Hukuman takzir dilaksanakan kepada setiap pegawai dan kakitangan kerajaan yang mengambil harta dengan cara yang tidak halal seperti memberi atau menerima rasuah atau melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pegawai awam yang boleh dianggap sebagai melakukan kesalahan pecah amanah dan jenayah.

Ibnu Taimiyah menyebutkan bahawa hukuman takzir dengan pecat daripada jawatannya telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabatnya (Ibnu Taimiah As Siasah Asy Syariah…113) Begitu juga Syadina Umar Al Khatab telah memecat pegawainya kerana kesalahan minum arak. (Bersambung) – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -