
KUALA TERENGGANU: Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali menyambut baik cadangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, bagi memperkenalkan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Ini kerana, katanya Kod Etika berkenaan bagi Ahli Parlimen telah dilaksanakan di peringkat itu dan dicadangkan pula dilaksanakan di peringkat DUN Terengganu.
“Ada satu kod etika yang dicadangkan oleh SPRM (Terengganu) kepada kita (negeri), yang telah pun dilaksanakan di peringkat nasional khususnya pada Ahli Parlimen.
“Jadi saya berhasrat untuk berbincang dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, supaya Kod Etika ini bukan sahaja ada di peringkat Ahli-ahli Parlimen tetapi boleh dilaksanakan di peringkat negeri, supaya kita (Terengganu) ada satu garis panduan menguruskan kepentingan orang ramai,” ujarnya dalam sidang media selepas lawatan kerja di Kompleks SPRM Terengganu, Bandar Baru Bukit Besar, di sini, 8 Mac lalu.
Selain itu, Dato’ Yahaya turut mencadangkan kepada pihak SPRM Terengganu agar dapat mengadakan perbincangan dan penerangan bagi mendidik masyarakat tentang gejala rasuah.
Kata beliau, soal pendidikan kepada komuniti masyarakat dan rakyat umum perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam menangani masalah tersebut.
“Saya menekankan tadi (dalam pertemuan) bahawa penting diberikan perhatian soal pendidikan kepada komuniti masyarakat di negeri ini.
“Saya dapat maklumat, SPRM dah turun ke bawah tapi (ia) boleh diperkasakan lagi supaya isu-isu penting ini di peringkat bawah (seperti) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat penjelasan kerana mereka terlibat secara langsung dengan orang ramai,” jelasnya.
Menurutnya, majlis-majlis penerangan yang berbentuk mendidik masyarakat seumpama itu dapat menghindari dan diperkasakan berkait isu-isu rasuah.
Harakah difahamkan, Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM itu merupakan satu panduan yang menggabungkan nilai akhlak, perbuatan dan tindakan seragam yang perlu dipatuhi serta dibudayakan.
Hadir sama dalam kunjungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abd Karim, ADUN Ajil, Cikgu Maliaman Kassim, ADUN Pengkalan Bengkalan, Ustaz Sulaiman Sulong, ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman. – HARAKAHDAILY 9/3/2021











