JAKIM sokong tindakan pihak berkuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan bahawa isu video yang memaparkan pengakuan seorang lelaki India memurtadkan seorang wanita Islam yang tular di media, kini dalam perhatian dan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah menerima aduan dari pelbagai pihak.

Dalam kenyataan media malam tadi, Ketua Pengarahnya, Dato’ Abdul Aziz Jusoh meminta supaya orang ramai untuk menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sedang berkuat kuasa di beberapa buah negeri terhadap mana-mana orang, termasuk orang bukan Islam, yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam supaya meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada agama Islam.

- Advertisement -

“Selain itu, mana-mana orang Islam yang cuba untuk keluar dari agama Islam juga boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di beberapa buah negeri,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video yang dimuat naik di sebuah saluran Youtube, memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.

Dalam video itu, lelaki tersebut turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.

Susulan itu, Abdul Aziz menyeru seluruh umat Islam agar dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Semua pihak diingatkan agar tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam isu melibatkan umat Islam sebaliknya perlu sama-sama memperkukuhkan institusi keluarga Islam, memupuk sikap saling ambil peduli dalam masyarakat dan ingat mengingati dalam menghadapi sesuatu permasalahan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain akan sentiasa menjalankan usaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara.

Katanya, ia selaras dengan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan pada masa kini.

“JAKIM mengucapkan syabas dan tahniah atas keprihatinan semua pihak dalam sebarang isu membabitkan umat Islam dan dalam masa yang sama menyokong usaha dan tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan seadil-adilnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -