
PASIR MAS: Empat mangsa rumah roboh akibat tebing sungai runtuh di sini menerima sumbangan wang tunai RM1,000 daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sumbangan awal diberi kepada penduduk yang kehilangan rumah akibat tanah runtuh.
“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi bencana,” katanya ketika ditemui selepas melawat penempatan sementara mangsa di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, hari ini.
Awal pagi tadi, empat penduduk di Kampung Pohon Chelagi hilang rumah dan harta benda dalam kejadian tanah runtuh di tebing Sungai Kelantan.
Mumtaz juga berkata, kerajaan akan mengambil langkah jangka masa pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya juga berharap semua mangsa yang terlibat sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikut segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Sempena lawatan itu beliau dan Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Dasuki turut menziarahi pasangan warga emas yang uzur akibat sakit tua di Jalan JKR Pasir Mas.
Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berharap pihak berwajib mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu bagi mengelakkan lebih banyak harta benda penduduk musnah pada kejadian tersebut.
“Saya dimaklumkan penghulu berhubung kejadian tanah runtuh di Lorong Pohon Chelagi di tepi Sungai Kelantan pagi tadi.
“Ketika berada di Kuala Lumpur malam tadi saya dimaklumkan berlaku rekahan di tebing sungai dan saya maklumkan segera kepada Ketua Jajahan.
“Beliau bergegas ke lokasi kejadian jam 12.15 pagi. Saya juga menghantar aduan kepada Kementerian Alam Sekitar bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.
Beliau juga berharap penduduk di kawasan berdekatan berwaspada dan berhati-hati terhadap kejadian tanah runtuh yang boleh berlaku lagi pada bila-bila masa. – HARAKAHDAILY 17/2/2021











