UniMAP anjur kursus jurulatih secara atas talian

- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menganjurkan Kursus Kejurulatihan Olahraga KOM tahap satu, membabitkan 50 peserta.

Peserta terdiri daripada guru-guru sukan, jurulatih muda serta pelajar universiti.

Kursus yang dikendalikan secara dalam talian itu sekaligus menjadikan UniMAP sebagai organisasi pertama yang mengendalikan sepenuhnya kursus mengikut normal baharu susulan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin berkata, kursus yang bakal berlangsung selama 14 hari itu mengetengahkan modul kejurulatihan yang diluluskan oleh World Athletic dengan membabitkan penilaian secara teori dan amali.

Ujar beliau situasi pandemik sekarang sewajarnya tidak dijadikan sebagai alasan untuk menghentikan sebarang kegiatan dan aktiviti sukan.

Atas dasar itu katanya, UniMAP mengambil inisiatif berbincang dengan KOM bagi mengendalikan kursus secara dalam talian, yang mana ia diakui KOM sebagai sesuatu yang baharu dan tidak pernah dilaksanakan.

“Ini kerana terdapat elemen kejurulatihan secara amali yang perlu dilaksanakan peserta, justeru mekanisme penilaian haruslah mengambil kira semua kekangan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

KOM bersetuju penganjuran kursus tersebut yang akan dijadikan penanda aras untuk diikuti organisasi lain pada masa akan datang.

Kursus tersebut dikendalikan Pengarah Pembangunan Kejurulatihan KOM, Anbarassuu Subramaniam dan Penolong Kanan Sukan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Abg. Sapani Abg. Sarbini yang merupakan Pensyarah Terlatih World Athletic.

Suhizaz juga berkata, UniMAP menyasarkan penyertaan dalam kalangan guru dan pelajar dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai jurulatih berkelayakan untuk membimbing atlet di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Namun, ujarnya memandangkan ia merupakan penganjuran kali pertama, kursus tersebut turut menarik minat beberapa bekas atlet negara antaranya Sanmuganathan, Muhamad Idris Zakaria.

Selain itu, Danial Azuan Amar Nand serta Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Dr Zulhusni Mohamad Rashid.

“UniMAP mengadakan perbincangan dengan beberapa persatuan sukan bagi menganjurkan lebih banyak kursus seumpama itu pada masa akan datang,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -