
MACHANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran mengenal pasti masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar sehingga ada di antaranya terjebak dengan gejala moral.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu penting sebagai usaha untuk menangani masalah terbabit.
“Adakah kejadian itu kerana kurang didikan agama, tertekan atau masalah kewangan,” katanya sebagai mengulas dakwaan pelajar institusi pengajian tinggi di Lembah Klang yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral, bagi mencari sugar daddy.
Bagaimanapun semalam aplikasi Sugarbook dipadamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) ekoran bantahan pelbagai pihak.
Dr Fadzli berkata, aplikasi sugar daddy diberi tindak balas oleh pelajar dengan bertindak sebagai sugar baby.
Tambah beliau mereka akan bergabung sebagai peneman dengan menerima bayaran sebagaimana diiklankan supaya dapat hidup mewah dan mampu melancong.
“Sekiranya perkara itu berlaku disebabkan desakan hidup, amat tidak wajar memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan sama ada dari pinjaman atau tajaan Mara.
“Malah institusi agama termasuk Majlis Agama Negeri turut memberi zakat kepada pelajar yang kesempitan kewangan.
“Jadi kita rasa sangat sedih apabila ada pelajar kita terutama yang beragama Islam turut terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu,” ujarnya.
Untuk itu beliau mencadangkan semua pihak mengambil tangungjawab masing-masing bermula dengan ibu bapa. – HARAKAHDAILY 16/2/2021











