Jangan sia-siakan pengeluaran i-Sinar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat mengeluarkan simpanan melalui kemudahan skim i-Sinar dinasihatkan berwaspada dan membuat perancangan perbelanjaan mereka.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha berkata, perlu difahami simpanan KWSP adalah simpanan hari tua maka jangan disia-siakan untuk digunakan bagi membeli barangan yang tidak perlu.

- Advertisement -

Katanya, beliau memahami langkah kerajaan memansuhkan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat itu melegakan mereka yang benar-benar memerlukan seperti golongan yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

Namun, bagi kumpulan yang tiada keperluan mendesak tetapi masih berminat untuk mengeluarkan wang caruman, haruslah berhati-hati dan perlu membuat perancangan perbelanjaan, ujarnya.

“Bagi kes-kes yang tulen dan genuine, mereka memang perlukan kemudahan i-Sinar ini untuk mereka fokus membayar hutang, memulakan hidup baharu ataupun memulakan perniagaan.

“Sebab itu suka saya nak nasihatkan rakyat Malaysia, belia khususnya, ingat bahawa duit yang kita dapat ini seumpama kita meminjam daripada masa depan dan perlu dipastikan simpanan ini boleh bertahan untuk tempoh enam bulan.

“Apa yang paling kita bimbangkan sekali, mereka perlu berhati-hati dengan scammer-scammer yang mungkin sedang mencari mangsa untuk diperdayakan sebab mereka tahu sekarang ini rakyat mempunyai duit.

“Dan mungkin gaya hidup sakan ataupun mungkin terpedaya untuk membeli iPhone yang mahal sedangkan mereka perlukan wang tersebut untuk simpanan masa depan, mereka perlu sentiasa beringat dan berwaspada,” ujarnya dalam satu temu bual khas dalam talian bersama Bernama TV dalam program Malaysia Petang Ini, semalam.

Khamis lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemansuhan syarat i-Sinar membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

“Langkah ini diharap dapat membantu pencarum KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Ditanya tahap literasi kewangan belia negara ini, Jufitri berkata, kepekaan belia terhadap kepentingan simpanan wang masih lagi lemah.

Bagaimanapun katanya, walaupun terdapat segelintir belia yang baik dalam pengurusan kewangan, beliau menyeru kepada para pemimpin agar dapat menasihatkan anak-anak belia ini memanfaatkan skim tersebut sebaik-baiknya.

Katanya lagi, pihaknya ada membuat perbincangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi melihat kepekaan belia terhadap kepentingan simpanan wang.

“Kita di peringkat Majlis Belia Malaysia pun akan bekerjasama dengan AKPK untuk memperhebat latihan-latihan mengenai literasi kewangan supaya mengurus kewangan dengan sebaik-baiknya.

“Simpanan i-Sinar yang diberikan ini perlu dijimatkan, bayar benda-benda yang perlu dan manfaatkan untuk keperluan sahaja,” saranannya kepada belia agar celik dengan pengurusan kewangan. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -