Doakan ‘Ayah Chik’ cepat sembuh – Senator Dato’ Husain

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kondisi semasa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kini berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setelah menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang berkata, maklumat yang diterima dari ahli keluarga terdekat bahawa keadaan Dato’ Seri Tuan Guru baik dan stabil.

Justeru, kata beliau mendoakan agar pemimpin PAS yang disayangi itu cepat sembuh dan dapat kembali memimpin ummah.

“Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) dan seluruh ahli parti (PAS) mendoakan kepada ‘ayah chik’ (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi) supaya cepat sembuh untuk terus memimpin ke arah Penyatuan Ummah,” ujarnya ketika dihubungi Harakah, hari ini.

Menurutnya, kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi masih diperlukan bagi menyatukan umat Islam dan bangsa di negara ini.

Sehubungan itu, kata Dato’ Husain, PAS tetap optimis bagi penyatuan orang Melayu khususnya dengan acuan Islam.

Ini kerana, katanya dari segi politik pilihan raya, jumlah pengundi Melayu yang mengundi PAS dan Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu adalah sekitar 70 peratus.

“Dengan Penyatuan Ummah (PAS-Umno) ini, kita mampu menstabilkan politik dan melonjakkan negara ke arah mercu yang lebih gemilang.

“Kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa, mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesihatan Presiden PAS itu terjejas mungkin disebabkan kepenatannya.

“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru (Abdul Hadi) sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadualnya yang padat,” ujarnya melalui kenyataan di Facebook, miliknya pagi ini.

Justeru, beliau memohon doa dari seluruh rakyat Malaysia agar kesihatan Tuan Guru Abdul Hadi, kembali pulih dan dapat terus memimpin ummah.

Sekitar jam 7.50 petang semalam, Dato’ Seri Abdul Hadi dibawa ke Hospital Putrajaya kerana mengadu masalah pernafasan, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan lanjutnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -