Ambil tindakan tegas terhadap ‘dalang’ Sugarbook

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dukacita dan marah dengan penganjuran aktiviti tidak bermoral melalui laman web dan aplikasi Sugarbook.com menyebabkan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) membuat laporan polis di negeri ini.

Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman berkata, Muslimat PAS Terengganu terkejut dengan isu Sugarbook.com, sugar daddy, sugar baby yang menjebak ribuan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Menurutnya, laporan media mendedahkan seramai 12,705 pelajar IPT di negara ini terjebak dengan kancah sugar baby.

- Advertisement -

“Laman web (sugarbook.com) ini telah dibuka sejak 2016 dilancarkan. Antara sebabnya, kerana masalah kewangan pelajar IPT dan IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) terbabit.

“Pada awal Januari 2021 perkara ini semakin meningkat dan dilaporkan 40 peratus pelajar di platform temujanji itu yang mendaftar dalam akaun laman web Sugarbook.com itu.

“Menurut platform Sugarbook istilah sugar baby bermaksud wanita muda yang menukar antaranya hubungan seks dengan duit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, laporan media juga menyebut bahawa Malaysia menjadi ‘sarang’ kepada sugar daddy dan sugar baby iaitu iaitu seramai 42,500 sugar daddy serta Malaysia berada di tempat ketiga selepas India dan Indonesia di Asia.

“Ini suatu perkara yang sangat mendukacitakan kepada kita. Ini sangat malanglah perkara ini berlaku di negara umat Islam.

“Kita harap perkara ini disiasat di bawah Seksyen Akta 372 Keseksaan kerana mengeksploitasi untuk tujuan pelacuran dan menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Harap pihak Kementerian Komunikasi Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat mengambil tindakan tegas untuk membendung isu ini, supaya laman web Sugarbook.com ini disekat,” tegasnya.

Namun, kata beliau, lebih mendukacitakan lagi kalangan yang terjebak itu adalah para pelajar yang berpendidikan tinggi.

“Apa yang berlaku ini, mendukacitakan kita kerana yang terlibat adalah di kalangan anak-anak muda dan mungkin wanita-wanita Melayu juga terjebak.

“Malangnya, kes berkenaan turut berlaku di IPT yang tertua di Malaysia seperti Universiti Malaysia (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor,” jelasnya.

Menurutnya, siasatan hendaklah menyeluruh dan tindakan tegas wajar dikenakan terhadap ‘dalang’ yang mengoperasikan aplikasi berkenaan.

Hadir sama di IPD Polis Kuala Terengganu itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Setiausaha DMPNT, Raja Endun Raja Abdul Rahman.

Harakahdaily difahamkan, hanya beberapa jam selepas laman web Sugarbook.com itu disekat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak terbabit telah membuat pautan alternatif baharu ke laman web berkenaan kepada pelanggannya. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -