Sugarbook: PAS Batu buat laporan polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan sesekali berkompromi dalam isu Sugarbook yang boleh membawa negara ke lembah kehinaan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya berkata, perkara sebegini tidak boleh dibiarkan berleluasa dalam masyarakat.

- Advertisement -

“Saya menggesa pihak kerajaan tidak memandang sepi isu-isu sebegini khususnya melibatkan maruah pelajar-pelajar yang berada di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) mahupun institut pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan semalam, pimpinan PAS Kawasan Batu yang diwakili oleh Timbalan Yang Dipertuanya, Shamsuddin Yaacob serta beberapa pimpinan yang lain turun membuat laporan polis susulan dakwaan isu Sugarbook yang tular tempoh hari.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Dato’ Huzir Mohamed mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh institut pengajian tinggi berhubung perkara itu.

Kata Huzir, pihaknya telah membuka kertas siasatan sebaik sahaja menerima laporan berkenaan.

Peningkatan jumlah pengguna aplikasi Sugarbook melibatkan pelajar IPTS dan IPTA untuk mencari sugar daddy bagi mendapatkan wang secara mudah dalam menyelesaikan bebanan kewangan semasa wabak Covid-19 menjadi perbualan di media sosial.

Semalam, Timbalan Menteri Agama, Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam mengendalikan aplikasi Sugarbook.

Sementara itu, Ustaz Azhar yang juga anggota penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata akan membawa perkara ini ke pengetahuan pihak tertingginya supaya dapat bekerjasama dengan pihak penguatkuasa dalam membanteras jenayah gelap ini.

Menurut beliau secara asasnya, tiga pendekatan utama boleh diteliti antaranya sekatan terhadap akses laman sesawang yang berkaitan selain mendakwa mereka yang terlibat ke muka pengadilan serta peranan optimum daripada pihak zakat dan agensi terlibat bagi membantu para pelajar.

“Namun kesemua ini memerlukan suatu penyiasatan yang terperinci daripada pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -