SKMM, PDRM pantau aplikasi Sugarbook

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil berat gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook.

Menurut laporan semakin ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti menawarkan diri sebagai sugar baby di laman aplikasi tersebut.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata, dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati termasuk memperdaya mangsa.

- Advertisement -

Selain daripada Sugarbook katanya, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan dating service atau percintaan dalam talian.

“Pengguna harus sedar mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

“Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lebih 12,700 pelajar institusi pengajian tinggi terbabit dengan aplikasi antaabangsa Sugarbook yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral.

Menurut SKMM, pihak akan memantau dan menyiasat bersama PDRM aplikasi Sugarbook.

Malah, kata beliau pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform tersebut sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.

“Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM di bawah Kanun Keseksaan.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan,” ujarnya.

Kata kenyataan itu juga laman cari teman seperti Sugarbook sedang disiasat Internet dan aplikasi Internet membuka ruang kepada komunikasi lebih luas dan terbuka termasuk aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar.

Malah ia dikatakan membabitkan hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan dengan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam talian.

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan pengguna aplikasi internet sentiasa berhati-hati memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutamanya di laman pencarian teman. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -