
KOTA BHARU: Seramai 100 pasangan yang didakwa bernikah menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah diminta tampil ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Mereka diminta tidak takut untuk tampil berbuat demikian memandangkan ia untuk kepentingan bersama.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia juga untuk memudahkan proses mengesahkan status perkahwinan pasangan terlibat.
“Saya berharap semua pihak yang terlibat tampil ke hadapan bagi membantu JAIS bagi mempermudahkan segala urusan berkaitan perkahwinan,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi seorang pesakit Muhammad Muzani Mohamad, 28 di Pengkalan Chepa dekat sini semalam. (Foto atas)
Baru-baru ini Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS membongkar pernikahan menggunakan jurunikah tanpa tauliah setelah berjaya menahan seorang bekas kakitangan awam di sebuah premis di Puncak Alam, Shah Alam.
Berikutan itu, JAIS meminta 100 pasangan yang dinikahkan lebih sebulan lalu tampil bagi membantu siasatan.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, setakat ini hanya 100 pasangan yang terlibat sebagaimana dilaporkan, namun tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi kes seumpama itu.
Malah katanya, kemungkinan isu yang dibongkarkan di Selangor tersebut turut berlaku di negeri-negeri lain.
“Semua pihak menyedari perkahwinan menggunakan jurunikah tanpa tauliah dan menjadi jurunikah tidak bertauliah merupakan satu kesalahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/2/2021











