
KUALA LUMPUR: Laporan berkenaan kegiatan sugar baby dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di Lembah Klang amat memeranjatkan.
“Sekiranya jumlah yang dilaporkan itu adalah benar, ia merupakan satu tamparan yang hebat kepada pihak pengurusan hal ehwal pelajar universiti kerana gagal menjejaki seterusnya memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada pelajar mereka,” kata Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun begitu, ujarnya Lajnah Pendidikan PAS Pusat masih menaruh harapan tinggi bahawa jumlah seramai 12,705 orang seperti yang dilaporkan itu tidak benar dan hanya gimik operasi pihak tertentu sahaja untuk mendapatkan perhatian umum.
“Dalam hal ini, Lajnah Pendidikan PAS Pusat ingin menyarankan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyemak semula seterusnya merangka komponen kursus wajib universiti merangkumi silibus penghayatan Islam bagi pelajar beragama Islam dan penghayatan moral kepada bukan Islam bagi membendung aktiviti negatif ini dari terus berleluasa,” katanya lagi.
Di samping itu, tambah beliau pihak KPT juga perlu menekankan program pembinaan sahsiah dan pembentukan akhlak sama ada dalam bentuk kokurikulun atau aktiviti luar kuliah yang menekankan jati diri, negara bangsa dan khidmat negara.
Beliau berkata, pilihak pentadbir universiti juga perlu berperanan dengan mengambil tindakan tegas kepada pelajar yang benar-benar terlibat dengan gejala tersebut berdasarkan peraturan-peraturan yang ada.
Ini, katanya supaya ia menjadi satu pengajaran dan amaran kepada mereka yang mula berjinak-jinak dengan amalan yang bertentangan dengan moral itu.
Tambah beliau, tidak ketinggalan pihak luar universiti seperti Jabatan Kemajian Islam Malaysia (JAKIM), badan bukan kerajaan (NGO) dakwah atau badan-badan tertentu yang mempunyai talian dengan pihak pengurusan universiti mewujudkan program dalaman yang dapat membantu pelajar insaf dengan perlakuan buruk tersebut.
Menurutnya lagi, Lajnah Pendidikan Pusat amat berharap agar pihak kerajaan khususnya KPT dengan kerjasama kementerian tertentu seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementeria Dalam Negeri dapat bergabung tenaga menangani permasalahan itu dengan penuh ketegasan dan hikmah.
Menurutnya, isu sugar baby bukan lagi menjadi isu hak kebebasan bersosial pelajar wanita, tetapi ia mampu merobek maruah serta menjatuhkan kedudukan nilai diri seorang pelajar wanita.
“Oleh itu, berjaga-jaga jangan sampai tergadai maruah mereka, dek kerana kealpaan kita menegur dan meluruskan semula jalan mereka,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 15/2/2021











