
KOTA BHARU: Aplikasi Sugarbook dan laman web berkaitan perlu disekat oleh kerajaan memandangkan banyak mudarat berlaku akibat daripadanya.
Kerajaan amat memandang serius berhubung isu terbabit dan sekiranya benar sebagaimana didakwa ia sangat mendukacitakan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerana itu kerajaan tidak boleh membiarkan ia berleluasa.
Menurutnya, isu Sugarbook sudah berada dalam pengetahuan kementeriannya.
“Kerana itu kerajaan tidak boleh mendorong rakyat melakukan perkara yang melanggar hukum serta undang-undang dengan adanya aplikasi terbabit.
“Bagi menyelesaikan masalah yang berlaku, kerajaan perlu menyekat atau memadamkan aplikasi berkenaan daripada digunakan dalam negara,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Kaunter Pandu Lalu, Musaadah Covid-19 Pengkalan Chepa dan penyampaian sumbangan kepada pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kompleks Purnama, di sini. (Foto atas)
Anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu bagaimanapun berkata, isu yang berkait (penggunaan aplikasi Sugarbook) masih dalam siasatan.
“Kita sedang menyiasat berhubung kesahihannya, tetapi siasatan itu bukan bermaksud kita menafikan ianya berlaku.
“Banyak prosedur yang sewajarnya dilakukan oleh sebuah kerajaan apa lagi untuk mengambil tindakan,” ujarnya.
Tambahnya, pada masa yang sama perlu ada kertas siasatan yang membuktikan ia benar-benar berlaku.
“Kita serah kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana ia membabitkan penuntut dan juga untuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia,” katanya.
Katanya, di bawah agensi agama pihaknya akan mengenakan tindakan tegas berdasarkan bidang kuasa yang ada. – HARAKAHDAILY 14/2/2021











