Sugarbook: Mahasiswa jangan terjebak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan badan mahasiswa mengecam aplikasi atau laman sesawang temujanji ‘Sugarbook’ yang berunsurkan pelacuran dan amalan Sugar Daddy yang meluas di institut pengajian tinggi (IPT).

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan bersama Mahasiswa Malaysia hari ini, pihaknya berkata aplikasi dan laman sesawang berunsur maksiat dilihat mampu memusnahkan ketamadunan dan membawa keruntuhan moral.

Malahan ia dikhuatiri akan memecahbelahkan institusi kekeluargaan seterusnya menjadi penyumbang kehancuran sesebuah negara.

“Tidak berhenti sekadar itu, mereka juga ada mengeluarkan senarai ‘Top 10 Sugar Baby Universities In Malaysia’ menggambarkan pelajar paling ramai terlibat dalam aktiviti ini.

“Dua daripadanya adalah IPTA, selebihnya melibatkan IPTS. Ini sejujurnya telah mencalarkan imej kewibawaan universiti-universiti Malaysia yang sangat disanjung sebagai tempat tumbuhnya cendikiawan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, faktor utama menyumbang kepada perkara ini adalah hutang dan kos sara hidup yang tinggi yang memberi tekanan serta mendesak mahasiswa untuk mencari sumber pendapatan lain selain PTPTN yang tidak mencukupi terutama daripada keluarga yang susah.

Katanya, tidak menafikan, ada juga golongan mahasiswa yang terpengaruh inginkan kehidupan di taraf yang lebih tinggi.

Justeru itu, katanya menjadi satu keperluan yang signifikan untuk menambahbaik pendedahan pendidikan rohani, akhlak dan pembentukan moral yang utuh agar mereka tidak mudah terpengaruh dan memilih jalan pintas yang salah.

“Kami mengingatkan para mahasiswa agar tidak mudah terpedaya menjual maruah dan harga diri demi kemewahan yang sedikit.

“(Oleh itu) Kami bersedia membawa suara dan hak mahasiswa dalam isu kebajikan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan ‘ranking’ dan bilangan pelajar IPT yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

“Sekiranya data yang dikeluarkan tidak benar, pihak berkenaan sewajarnya dikenakan tindakan atas penipuan yang dilakukan.

“Namun, sekiranya data itu betul, maka pelajar yang terlibat khususnya Muslim perlu dikesan dan dibimbing ke pangkal jalan.

“Tindakan mengharamkan aplikasi yang menjadi sarang maksiat itu adalah langkah pencegahan terbaik,” ujar kenyataan itu lagi.

Tular di media berkenaan aplikasi dan laman sesawang temujanji yang berunsurkan pelacuran dan amalan Sugar Daddy melibatkan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) kembali hangat diperkatakan. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -