
KOTA BHARU: Projek Jiwa Murni sejajar dengan perintah ulung panglima tentera darat dalam tonggak kelima, iaitu peningkatan hubungan tentera dengan awam diteruskan dalam usaha memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob hari ini bersama Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hassan telah melawat ke tapak projek pembinaan rumah di Kampung Alor Durian, Wakaf Bharu.
Panglima 8 Briged Brig Jen, Zamsari Abu Hassan berkata Projek Jiwa Murni itu melibatkan lima pembinaan di Kelantan dan satu di Terengganu yang merangkumi kerja membina serta membaik pulih rumah dan pembinaan tadahan air.
Katanya, Projek Jiwa Murni dibawah kelolaan 8 Briged sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-88 telah dimulakan pada 10 Februari lalu.
Keseluruhan projek itu melibatkan tenaga kerja daripada pasukan Skuadron Ke-7 Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 SKN RAJD) dan dibantu oleh pasukan di bawah naungan 8 Briged.
Sebelum itu, Ustaz Ahmad Yakob menjelaskan bahawa sumbangan dana bagi projek berkenaan adalah daripada pihak Markas Tentera Darat, Menteri Besar Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun, penerima bantuan bagi Projek Jiwa Murni terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), mangsa terjejas banjir dan lebih 500 orang penduduk kampung yang memerlukan bekalan air bersih.
Sepasangan suami isteri yang terlantar sakit akibat strok dan mempunyai masalah pendengaran serta penglihatan Salleh Ali, 85, dan Halimah Mamat, 80, turut menerima bantuan.
Bagi OKU, Izwan Senik yang tiggal di Kampung Alor Durian turut menerima bantuan berkenaan. – HARAKAHDAILY 13/2/2021











