
PENDANG: Majikan atau pihak berkenaan yang menggunakan khidmat pekerja warga asing digesa segera mengarahkan mereka menjalani ujian saringan Covid-19.
Gesaan itu berikutan difahamkan memandang lebih 500,000 lagi pekerja warga asing di Malaysia belum bertindak sedemikian.
Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, perkara itu perlu dipandang serius agar penyebaran pandemik Covid-19 dalam komuniti tidak berlaku.
“Apabila ujian saringan dibuat banyak kes positif Covid melibatkan warga asing. Tetapi dalam masa yang sama masih ramai pekerja warga asing yang belum menjalani ujian saringan,” kata beliau di sini.
Perkara yang sama juga disaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya penularan kes Covid-19 dalam kalangan warga asing dapat dibendung.
Semalam, Kedah mencatatkan peningkatan positif Covid-19 kepada 228 kes, di mana 136 daripadanya adalah penularan melibatkan warga asing.
Difahamkan 120 kes melibatkan warga Bangladesh, Nepal 15 dan Indonesia satu kes, merupakan pekerja Kilang Plywood Asia, Bukit Selambau.
Sementara itu terdapat satu kluster baharu daripada kalangan warga tempatan di sebuah Mahaad Tahfiz di Sungai Dedap, Yan.
“Saya berharap mereka lebih berhati-hati dalam pergaulan di sekolah kerana wabak berada dalam kelompok kita.
“Jadi penjagaan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi betul betul,” tambah Adun Tokai itu lagi.
Beliau juga berharap agar program imuniti rakyat (herd imunity) dapat dijalankan dengan sebaik mungkin yang dijangka boleh mencapai 75 peratus. HARAKAHDAILY 12/2/2021











