Patuhi SOP sambut Tahun Baru Cina – Exco

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menasihati kaum Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baru Cina pada 12 Februari ini agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Beliau berharap agar semua rakyat keturunan Cina di Kelantan supaya akur terhadap arahan kerajaan yang menggalakkan menyambut perayaan dalam norma baharu.

“Kita sangat berharap pada tahun ini sahaja, rakyat kita yang menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi agar dapat menjaga peraturan ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini lebih pentingan kerana keselamatan dan kesihatan pada musim wabak ini lebih penting supaya tidak berlaku penularan Covid-19 dalam keluarga dan juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Pejabatnya di Mabna Membangun Bersama Islam (MBI) di sini, hari ini.

Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Kelantan menerima sumbangan tersebut bagi membantu menjayakan program serta aktiviti pada Tahun Baru Cina di kawasan masing-masing.

Md Anizam berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada wakil rakyat terbabit bagi memeriahkan lagi sambutan itu termasuk agihan limau mandrin dan angpau kepada rakyat.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tradisi makan besar keluarga pada 11 Februari hanya boleh dihadiri tidak lebih 15 ahli keluarga yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer radius.

Malah rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan serta aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari dibenarkan dengan tertakluk kepada prosedur yang ketat.

Antaranya, jumlah kehadiran di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan mengikuti peraturan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan tempoh waktu sembahyang diperuntukan selama 30 minit yang diselangi dengan kerja pembasmi kuman sebelum waktu berikutnya. – HARAKAHDAILY 10/2/2021

- Advertisement -