
ALOR SETAR: Pandemik Covid-19 yang melanda negara diharapkan tidak mengurangkan kemeriahan Tahun Baru Cina tahun ini seperti mana sambutan sebelumnya.
Sungguhpun begitu, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, perkara yang lebih penting ketika ini adalah kesihatan.
“Tahun ini, kita terpaksa meraikan sambutan Tahun Baru Cina dalam suasana berbeza, dengan norma baharu.
“Namun saya berharap ia tidak mengurangkan kemeriahan sebagaimana sambutan pada tahun-tahun yang lalu,” ujarnya sempena perayaan itu yang akan disambut 12 Februari ini.
Menurutnya, terdapat seramai 276,000 penduduk keturunan Tionghua di negeri ini iaitu 12.5 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta rakyat Kedah.
Begitupun, ujarnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri tetap berlaku adil tanpa mengira kaum sama ada majoriti mahupun minoriti sebagaimana yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.
“Slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ adalah jaminan kerajaan untuk bersikap adil terhadap semua warga Kedah tanpa mengira kaum, agama atau perbezaan latar belakang.
“Dan saya mengharapkan sahabat-sahabat kaum Tionghua kita akan meraikannya dengan penuh meriah,” sambung beliau lagi.
Beliau yang juga Adun Jeneri mengharapkan dengan kehadiran tahun baru ini menjadikan masyarakat Tionghua lebih bersedia menghadapi paradigma baharu ekonomi dunia agar segera pulih dan kembali makmur.
Sanusi juga merakamkann penghargaan kepada Frazel Group yang telah menyumbang 2,000 kotak limau mandarin untuk diagihkan sempena perayaan itu.
“Kata sahabat Cina saya, limau atau kam bermaksud emas dan membawa simbol kekayaan, tuah dan kebahagiaan.
“Namun apa yang lebih penting ketika ini menjaga kesihatan dan jangan lalai dari mengamalkan norma baharu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/2/2021











