
KOTA BHARU: Kerajaan dianggap mendengar rintihan masyarakat Tionghua berhubung rayuan sambutan Tahun Baru Cina, Jumaat ini.
Sedangkan sebelum ini kerajaan memutuskan hanya dua orang sahaja dibenarkan menyambut perayaan itu dalam sebuah rumah.
“Kami amat sedih dan menganggapnya begitu tidak adil sedangkan Hari Raya Puasa tahun lalu tidak sedemikian.
“Bagaimanapun kami memohon kerajaan menimbang permohonan kami dan keputusannya dibenarkan tidak melebihi 15 orang, jadi kami sokong,” kata Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Dato’ Oie Poh Choon.
Oleh itu, beliau merakam ucapan terima kasih di atas kelonggaran yang diberikan kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Bagaimanapun kata beliau masyarakat Cina di Kelantan akur dengan arahan kerajaan ketika menyambut Tahun Baru Cina tahun ini dengan normal baharu.
Mereka turut berharap segenap lapisan masyarakat membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Masyarakat Cina di seluruh negara akan menyambut Tahun Baru Cina Jumaat ini, kerana itu setiap anggota keluarga mempunyai SOP sendiri, selain yang ditetapkan kerajaan.
“Andainya bukan kita yang membantu kerajaan, siapa lagi yang akan berbuat demikian,” ujarnya ketika ditemui hari ini.
Beliau juga berharap masyarakat berkenaan menyambut Tahun Baru dengan pematuhan SOP dan normal baharu.
Ujar beliau, basuh tangan sekerap mungkin bukan hanya penjarakan fizikal semata-mata atau memakai pelitup muka.
Timbalan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Dr Foo Say Hum, pula memberitahu, pengumuman kerajaan mengenai SOP sambutan Tahun Baru memberi kelegaan.
Menurutnya majlis Makan Malam Keluarga merupakan perhimpunan atau perpaduan yang paling mustahak sekali dilakukan masyarakat Cina.
“Makan besar ini kita nak makan bersama dengan saudara mara kita. Tapi apabila kerajaan menetapkan semula SOP Tahun Baru Cina untuk tahun ini, ia memberi kelegaan kepada saya,” ujarnya.
Kata beliau SOP yang dibuat kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat, walaupun sambutan Tahun Baru tidak lagi meriah seperti sebelum ini.
“Saya faham kenapa kerajaan terpaksa melonggarkan kawalan PKP kali ini. Tetapi seperi orang Kelantan cakap ‘Okk senafas’ dengan patuhi SOP bagi kita putuskan rantaian Covid-19,” katanya.
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan, Lim Guang Seng, berkata, kerajaan mempunyai sebab kenapa SOP yang ketat dikenakan untuk sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.
“Kita kena sesuaikan diri dengan amalan normal baharu dan amalan ini bukan terpakai di negara kita sahaja malah hampir seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana normal baru dan berharap masyarakat Cina bersabar dan patuhi SOP. – HARAKAHDAILY 9/2/2021











