3 keluarga tumpang berteduh di sebuah rumah

- Advertisement -

PASIR MAS: Siti Asmah Ghazali, 45, bersama suami, Yahya Husin dan seorang anaknya berusia lapan tahun terpaksa berkongsi sebuah rumah tanpa bilik dengan dua lagi keluarga.

Kediaman yang dihuni tiga keluarga terbabit merupakan ihsan abang iparnya yang membenarkan menumpang rumah pusaka tanpa bilik, sejak sembilan tahun lalu.

Rumah tersebut terletak di Rong Chenok, Pasir Mas.

Siti Asmah yang mengidap jantung, darah tinggi dan kencing manis tidak dapat berjalan selepas kakinya disengat lipan sejak empat tahun lalu.

- Advertisement -

Kini beliau terpaksa bergantung hidup terhadap ihsan dan bantuan orang ramai selepas suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah hilang pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tidak dapat berjalan setelah kaki disengat lipan. Pihak hospital terpaksa membuang kulit dan isi separuh kaki yang rosak bernanah dan luka akibat kencing manis.

“Kejadian sengatan lipan berlaku pada 2016 dan sehingga kini saya masih lagi berulang alik ke hospital untuk mencuci dan menukar balutan di kaki,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Beliau juga mempunyai dua anak lelaki yang berusia 21 dan 20 tahun hasil perkongsian hidup bersama suami terdahulu, namun sekarang menetap bersama ibunya di Pasir Mas.

Menurutnya makan minum mereka sekeluarga hanya di satu ruang, termasuk ruang tamu dengan tandas dan bilik air yang dibina berasingan.

Kesusahan yang dihadapi keluarga Yahya itu menarik simpati Pertubuhan Ikatan Murni Chetok yang tampil menyampaikan barang keperluan harian dan wang tunai.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Murni Chetok, Ustaz Mohd Afifi Mohd Noor berkata, beliau menyedari ketika PKP ramai rakyat susah akan bertambah susah.

Kata beliau pihaknya mencari dana dan sumbangan untuk membantu individu-individu yang terkesan khususnya di Rantau Panjang.

“Melihat keadaan rumah ini yang berkongsi di atas tanah pusaka begitu menyedihkan, pendawaian elektrik juga membimbangkan,” katanya.

Sementara itu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengemukakan borang permohonan bantuan bagi mendapatkan bantuan bulanan agensi itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -