
TUMPAT: “Kita sepatutnya menghargai jasa orang lama, pengorbanan mereka kepada pasukan bola sepak Kelantan dan negara sebelum ini amat besar.
“Jangan sesekali generasi baharu sekarang melupakan setiap sumbangan mereka” ujar Presiden Kelantan United Football Club (KUFC), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.
Beliau menziarahi bekas pemain bola sepak negara, Mazlan Mohd Ragam yang menghidapi masalah angin ahmar di rumahnya di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, semalam.
Nama Mazlan cukup gah suatu ketika dahulu setanding dengan nama lain termasuk penjaga gol terbaik Kelantan Yap Kam Choon dan Halim Ramli.
Malah beliau pernah beraksi bersama pasukan Kelantan dan Malaysia pada era 80-an.
Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, bekas pemain itu bukan sahaja memperkuatkan pasukan Kijang, malah turut beraksi di peringkat kebangsaan pada era tersebut.
Katanya juga, lawatan terhadap bekas pemain bola sepak terbabit sebagai mengenang jasa dan sumbangannya kepada pasukan Kelantan dan negara suatu masa dahulu.
“Tiada yang lama (jaguh) maka tiadalah pemain yang baharu sekarang,” ujarnya.
Turut hadir pada lawatan tersebut Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.
Pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini KUFC bersama The Red Warriors (TRW) layak beraksi dalam kejohanan tersebut namun perlawanan ditangguh akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 8/2/2021











