
HULU LANGAT: PAS Kawasan Hulu Langat telah menyerahkan sumbangan sebuah bot penyelamat kepada Sukarelawan Bomba dan Penyelamat (BOMPENS) Taman Sri Nanding, di sini semalam.
Serahan tersebut telah disempurnakan Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Mohamad Jan Sulong kepada Komandan BOMPENS Taman Sri Nanding, Md Yusof Hassan bersama para anggota bertugas.
Sumbangan daripada ahli-ahli PAS Hulu Langat itu bagi memenuhi tujuan operasi BOMPENS Taman Sri Nanding khususnya bagi keperluan menghadapi situasi ketika berlakunya banjir.
Menurut Mohamad Jan, Dusun Tua merupakan kawasan yang kerap berlaku banjir besar di mana Taman Sri Nanding antara teruk terjejas setiap kali musibah tersebut berlaku dan peranan BOMPENS amat kritikal.
Keadaan tersebut jelasnya, berikutan Hulu Langat mempunyai kependudukan awam yang padat sedangkan Balai Bomba terdekat dapat memberi akses perkhidmatan adalah dari Cheras dan Ampang.
“Kali terakhir kawasan ini dilanda musibah banjir adalah pada bulan November lalu dan sebab itu kami merasakan satu keperluan kepada BOMPENS memiliki sebuah bot penyelamat,” ujar Mohamad Jan.
Beliau hadir bersama pimpinan PAS Hulu Langat lain antaranya Naib Yang Dipertua, Shahril Adha Zamhury dan Setiausaha, Jafri Mat Amin seusai program sumbangan COVID-19 di Kampung Sungai Raya.
Kehadiran rombongan disambut pasukan itu dan turut menerima taklimat berkenaan sejarah dan aktiviti khidmat BOMPENS yang memasuki tahun ke-11 operasinya setelah didaftarkan pada tahun 2009.
BOMPENS Taman Sri Nanding yang terbentuk atas usaha bersama mantan Ahli Parlimen PAS Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Mohamad Jan sendiri aktif memberi khidmat kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 8/2/2021













