
KOTA BHARU: Simpati terhadap usaha gigih petugas barisan hadapan dalam mendepani penularan wabak koronavirus (Covid-19), Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Kelantan Darulnaim (PURNAMA) tampil menghulur sedikit sumbangan.
NGO itu mengedar sebanyak 200 bungkusan berbentuk kelengkapan mandian kepada barisan frontliners di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, hari ini.
Sumbangan disampaikan Pengerusi PURNAMA, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Ini merupakan bantuan ketiga yang diberikan kepada frontliners dan pesakit-pesakit Covid-19.
“PURNAMA bersimpati terhadap kegigihan mereka bekerja tanpa mengira masa siang dan malam. Jadi kami tampil untuk bersama-sama mereka untuk turut merasai apa yang dirasakan oleh frontliners HRPZ II,” katanya selepas menyerah sumbangan terbabit kepada pengurusan hospital berkenaan, hari ini.
Kedatangan rombongan PURNAMA diraikan pengarah HPRZ II Dato’ Dr Selasawati Ghazali.
Minggu lepas PURNAMA memberi sumbangan kepada petugas dan pesakit di Pusat Kuarantin Risiko Rendah di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan Dewan Jubli Perak MPKB BRI.
Siti Zabedah juga berkata, setelah berbincang dengan pihak hospital PURNAMA memberi sumbangan termasuk towel, shampoo, bath gel, conditioner dan sedikit kuih. – HARAKAHDAILY 8/2/2021











