Bantu non-Muslim hadapi masalah harta

Dr Asiah Ali
- Advertisement -

ISTILAH non-Muslim merujuk kepada orang-orang yang belum kembali kepada Islam atau bukan beragama Islam atau yang mempunyai kepercayaan atau agama selain dari agama Islam.

Istilah non-Muslim lebih ideal digunakan dalam konteks dakwah berbanding istilah kafir atau musyrik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Rasul Allah sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepada mu dari Tuhan muDan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya dan Allah jualah akan memelihara mu dari kejahatan manusia, Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah dan petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Maaidah 5: ayat 67)

- Advertisement -

Dakwah dengan akhlak

Cara ini adalah cara yang paling mudah iaitu dengan menunjukkan akhlak molek dan terpuji. Sudah menjadi lumrah, manusia mudah terpikat akan sesuatu barang yang cantik, bermutu dan berharga seperti permata, berlian, dan emas.

Begitu juga tanggapan non-Muslim yang mudah tertarik dengan tingkah laku orang Islam yang sopan santun, berbudi pekerti dan memiliki sifat-sifat berhikmah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhan mu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik baik, sesungguhnya Tuhan mu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat nhidayah dan petunjuk.” (An-Nahl 16: ayat 125)

Dakwah dengan penulisan

Hidayah Allah SWT sangat luas dan hadir dalam pelbagai bentuk termasuk dalam bentuk penulisan. Mereka yang berminat dengan ajaran Islam dahagakan pendedahan tentang selok-belok tentang agama Islam.

Justeru, kongsikanlah pada mereka penulisan-penulisan yang mengandungi hujah wahyu mahupun hujah logik akal.

Langkah terbaik adalah dengan memberi saranan agar mereka merujuk buku-buku karya Ahmad Deedat seperti Journey to Faith, atau tulisan-tulisan ilmiah pendakwah berpengaruh lain seperti Cat Steven, penyanyi rock yang berhijrah kerana tertarik akan kalimah Allah, Muhammad Ali peninju yang memeluk Islam dan terkenal dalam kalangan non-Muslim dan lain-lain.

Sarankanlah kepada non-Muslim agar mereka dapat belajar melalui penulisan-penulisan mereka yang berjaya memeluk Islam.

Nabi Muhammad s.a.w juga berdakwah kepada non-Muslim dengan menulis surat kepada penguasa-penguasa besar dan ahli kitab melalui para sahabatnya seperti Muhammad Ibnu Qasim di India, Saad Ibnu Waqqas di China, Amru Al-As di Benua Afrika dan Dihyah al-Kalbi kepada Heraclius (Raja Romawi). Hasilnya Islam tersebar ke seluruh dunia hanya melalui penulisan baginda.

Dakwah dengan perkataan

Perkataan mencerminkan hati sanubari dan akal fikiran seseorang. Baik perkataan maka baiklah segala-galanya. Kita dituntut menjaga mulut dari mengeluarkan perkataan yang berbentuk celaan dan sensitif kepada agama lain.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Janganlah kamu memaki tuhan-tuhan mereka kerana mereka mungkin kembali memaki Allah atas kejahilan.” (Al-An’am 6: ayat 108)

Dengan belajar latar belakang, pegangan, budaya, cara hidup, dan pantang larang dalam agama lain, kita akan lebih berhati-hati semasa berkata-kata. Contohnya perkataan ‘keling’ atau ‘paria’ sangat-sangatlah menghiris hati penganut agama Hindu.

Kesannya pasti mereka akan lari dari orang Islam. Begitu juga dengan panggilan ‘Cina kui’ dan perkataan kasar yang lain. Sebaliknya, win their hearts dengan perkataan yang baik-baik ketika berurusan dengan mereka di pasar-pasar mahu pun di majlis-majlis.

Mempelajari bahasa Tamil dan Mandarin supaya dapat bertutur tentang Islam dalam bahasa tersebut adalah langkah lain yang dapat menarik minat mereka terhadap Islam. Dapatkah anda bayangkan betapa takjubnya mereka apabila kita fasih dalam bahasa mereka dan bercakap tentang agama Islam.

Dakwah dengan harta

Dakwah dengan harta kebiasaannya dilakukan oleh golongan kaya dan berkemampuan. Cara ini agak payah namun sekali dijalankan, ia berjaya menarik ramai golongan non-Muslim untuk memeluk agama Islam.

Saya pernah terbaca bagaimana pihak gereja sendiri mengagih-agihkan makanan dan bantuan kewangan kepada fakir miskin dan alangkah mulianya jika langkah ini diikuti pihak penguasa agama.

Saya juga ada terbaca tentang bagaimana pihak gereja memberi perlindungan kepada pengidap HIV Muslim dengan menyediakan asrama dan bantuan ubat-ubatan tetapi akhirnya dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dengan bantuan duit zakat bantuan orang ramai.

Jadi alangkah eloknya jika kita membantu juga non-Muslim yang mengalami masalah harta.

Firman Allah SWT maksudnya: “Perumpaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai terdapat seratus biji.” (Al-Baqarah 2: ayat 261)

Dakwah melalui sukarelawan

Berdakwah dengan sukarelawan pula melibatkan pertubuhan-pertubuhan besar dan ia dikategorikan sebagai dakwah dalam kelompok masyarakat. Melibatkan diri dalam street dakwah, menjadi sukarelawan kepada mangsa bencana adalah langkah terbaik dalam menyeru kebaikan kepada non-Muslim.

Sesiapa yang terlibat dalam aktiviti sukarelawan banjir baru-baru ini memberi gambaran agar tidak prajudis dalam berdakwah. Terdapat juga penduduk yang bukan beragama Islam tetapi ia tetap menjadi tugas kita untuk membantu meringankan beban.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa menyakiti kafir zimmi, maka aku (Rasulullah) akan menjadi lawannya di Hari Kiamat.” (HR. Muslim)

Perbandingan agama

Pendekatan yang terakhir adalah dengan berdialog kepada non-Muslim dalam forum mahupun program-program tertentu. Pendekatan ini kebiasaannya dikhususkan bagi ahli-ahli yang mahir dalam ilmu perbandingan agama.

PAS dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP)

Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) ialah sebuah institusi latihan yang ditubuhkan oleh Lajnah Tarbiah PAS Pusat bertujuan untuk memberikan latihan perkaderan, kepemimpinan dan dakwah secara nizomiyah kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS.

ILHAM ditubuhkan secara rasmi pada 1994 dan beroperasi di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar (sekarang KUIZM). Ia juga bertujuan menginstitusikan ilmu bagi meningkatkan keupayan dan kematangan ahli dan pendokong perjuangan PAS.

Mereka bukan sahaja memiliki semangat juang yang tinggi bahkan menguasai ilmu dalam pelbagai bidang.

DHPP tidak ketinggalan untuk dikaderkan melalui pendekatan ilmu kepada ahli-ahli mereka pada 13 September 2015, bertempat di Pejabat ILHAM Pusat, KUIZM, Taman Melewar.

Pengurusan ILHAM Pusat mengadakan mesyuarat dengan wakil DHPP untuk mengambil input-input daripada mereka dalam penyediaan kurikulum untuk DHPP.

Pada 5 dan 6 Mac 2016 diadakan Bengkel Pemurnian Modul Dewan Himpunan Penyokong PAS bertempat di Puteri Park Hotel Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Antara objektifnya ialah untuk memurnikan modul DHPP daripada kalangan ILMUAN dari Majlis Syura, PAS Pusat, Dewan-Dewan sama ada Ulamak, Pemuda, Muslimat dan DHPP.

Begitu juga daripada ahli akademik untuk Penyelarasan Pengajaran dan Pembelajaran Kursus Sijil Kefahaman Islam dianjurkan oleh ILHAM kepada DHPP terutama dalam kalangan ketua dan tenaga pengajar ILHAM dari seluruh negara.

Bertemakan ’Memperkasa Tarbiyah DHPP’ rentetan dari sini ILHAM menganjurkan Seminar Islam Dan Non-Muslim Untuk Dewan Himpunan Penyokong PAS 2016.

Ia bertujuan memberi kefahaman bagaimanakah kedudukan dan hak non-Muslim dalam sebuah negara Islam. Bagaimana untuk dilaksanakan atau diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Kepelbagaian masyarakat seperti perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan fitrah kejadian manusia ditentukan oleh penciptanya, seperti yang firman Allah SWT dalam surat al-Hujurat ayat 13 selaras dengan Islam adalah rahmat untuk semua. – HARAKAHDAILY 8/2/2021

Penulis merupakan Pengarah ILHAM.

- Advertisement -