
KOTA BHARU: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan melancarkan Projek Residensi Prihatin membabitkan pembinaan sebanyak 12,000 unit rumah mampu milik di Putrajaya pada 22 Februari ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air bernilai RM200,000 setiap satu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 hingga 30 bulan.
“Untuk permulaan sebanyak 12,000 rumah itu akan dibina di Putrajaya sebelum diperluas ke Labuan, Sabah dan Kuala Lumpur.
Katanya, kementerian akan membuka permohonan kepada pembeli, dengan keutamaan kepada penjawat awam dan golongan muda yang berkeluarga, pada 23 Februari ini.
“Keutamaan rumah itu diberikan kepada penjawat awam dan pasangan keluarga muda. Mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 juga boleh memohon rumah tersebut menerusi portal KWP bermula sekarang,” katanya pada Majlis Penyerahan dan Penyampaian Hamper, Limau dan Angpau Sempena Tahun Baru Cina di Taman Puspa, Kok Lanas, semalam.
Sementara itu katanya, pembinaan Residensi Prihatin adalah sebahagian daripada 8,000 unit rumah di bawah program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang tergendala sebelum ini.
Menurut Annuar, projek tersebut akan dibangunkan di kawasan strategik termasuk berhampiran pengangkutan awam, antaranya di Presint 7 dan 9.
Justeru itu, beliau yakin projek tersebut akan mendapat sambutan memandangkan ramai pemohon gagal membeli rumah berharga RM300,000 menerusi Program Rumah Wilayah yang ditawarkan sebelum ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut membuat keputusan mengubah suai projek tersebut kepada Residensi Prihatin setelah mendapat persetujuan Kabinet.
“Kita juga akan membuka tender kepada pemaju untuk projek rumah berkenaan dalam masa terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2021











