
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.
Istana Alam Shah dalam satu hantaran menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini menegaskan bahawa gejala rasuah dan fitnah yang berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat, malah dikhuatiri mampu menghancurkan negara.
“Baginda ingin mengingatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi agama Islam.
“Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah ini juga telah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.
“Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan itu.
Baginda turut menyatakan terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.
Justeru, baginda menyeru supaya pihak SPRM terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah.
“Baginda berharap pelaku-pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh, dan diadili di mahkamah dengan pantas dan telus supaya menjadi teladan kepada masyarakat,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, baginda juga menasihatkan rakyat di negara agar memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.
Menurut kenyataan itu lagi, baginda bertegas dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial hari ini.
Malahan, baginda berharap kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik tidak merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.
“Untuk itu, baginda menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.
“Baginda percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju ke hadapan,” katanya kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 4/2/2021











