MADA rintis usaha kumpul barangan terpakai

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merintis usaha mengumpul barangan terpakai yang boleh dimanfaatkan semula bagi kegunaan penduduk miskin di Kedah.

Pengerusinya, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, barangan tersebut boleh dihantar ke Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar mulai hari ini sehingga 11 Februari bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Katanya, barangan tersebut akan disumbang kepada mereka yang memerlukan.

“Antara barangan terpakai yang dicadangkan termasuk pakaian, tudung, barangan permainan kanak-kanak, pinggan mangkuk dan lain-lain lagi,” katanya di sini.

- Advertisement -

Program berkenaan merupakan aktiviti di bawah AKRAB MADA diadakan dengan kerjasama Kelab Sukan serta Kelab Puspanita MADA.

MADA menyediakan pusat pengumpulan yang dilengkapi bekas-bekas khas secara berasingan mengikut item yang ditetapkan.

Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik berkata, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghantar barangan tersebut di premis MADA di Alor Setar.

“Kami tidak menggalakkan orang ramai meletak barangan yang hendak disumbang dalam beg plastik atau guni, sebaliknya meletak di ruang yag disediakan.

“Boleh masukkan barangan terpakai itu di ruangan khas yang ditetapkan,” sambung beliau.

Kata beliau juga inisiatif tersebut sebagai usaha membantu mengajak orang ramai yang berkemampuan sama-sama membantu penduduk miskin terutamanya golongan petani, penoreh dan nelayan.

Lebih-lebih lagi katanya, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan wabak Covid-19 sekarang menyebabkan ramai penduduk miskin terjejas. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -