Adun bantu kempen patuh SOP di kampung

- Advertisement -

KOTA BHARU: Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah turut berusaha membantu kempen pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat mukim dan kampung bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengamalkan normal baharu.

Beliau berharap semua lapisan masyarakat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya, beliau yakin dengan melaksanakan kempen pematuhan SOP serta kesungguhan yang diambil semua pihak akan dapat membantu dan menyedarkan rakyat Kelantan terus mengamalkan SOP yang ditetapkan dalam kehidupan normal baharu.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas pelancaran kempen pematuhan SOP yang diadakan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pasir Pekan, Tumpat, hari ini. Pelancarannya disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada  petugas barisan hadapan yang menunjukkan semangat solidariti yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak Covid-19.

Program yang diadakan itu bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang ramai untuk terus mengutamakan langkah keselamatan dan mengikuti SOP pencegahan Covid-19 yang ditetapkan.

Penularan wabak Covid yang kini memasuki gelombang ketiga di negara ini, begitu membimbangkan apabila kes positif dan kematian terus meningkat.

Malah ada kes harian mencatat hampir 6,000 kes di mana Selangor mencatat jumlah kes tertinggi di negara, mengatasi jumlah kes di Sabah tahun lepas. – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -