Hasil rasuah umpama telan bara api

Senator Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan mengenai kedudukan Malaysia jatuh beberapa tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 adalah satu khabar yang mendukacitakan.

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, indeks tersebut memberi satu mesej bahawa berlakunya kerosakan atau keciciran terhadap delivery system dalam menjaga kebajikan rakyat.

Kata beliau, pelbagai usaha dan peruntukan disediakan untuk membela rakyat, namun kemungkinan berlaku ketirisan yang membantutkan usaha dan objektif kerajaan itu.

“Maka akhirnya kita lihat, kemiskinan tidak dapat diatasi, golongan asnaf semakin bertambah, bukan semakin berkurang.

- Advertisement -

“Jadi pada pendapat saya, ialah apabila bertambahnya golongan ini, bererti ada satu perkara yang tidak betul.

“Terutamya soal delivery system ataupun soal pengagihan yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang patut perolehi, tetapi mungkin berlaku ketirisan,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily pada Selasa.

Mengulas lanjut, katanya, PAS konsisten memerangi rasuah dan menganggap bahawa perolehan daripada rasuah itu seumpama menelan bara api.

Jelasnya, tiada individu di atas dunia sanggup menelan atau memakan bara api, apatah lagi membayangkan azab api neraka di akhirat sana.

Tambah beliau, rasuah dianggap sebagai ‘ummul khabais’ ataupun ibu kepada segala kejahatan dan runtuhnya sesebuah tamadun dan bangsa.

Ujarnya, sebarang perkara yang melibatkan rasuah akan memberikan kesan yang besar sama ada dari sudut perundangan, keadilan, pentadbiran dan ekonomi.

Justeru itu, tambahnya sebagai penganut Islam, sudah tentu hanya iman yang menjadi benteng dan pendinding daripada jenayah dan gejala rasuah itu.

“Walaupun SPRM tidak berjaya tangkap kita, tetapi Allah SWT dapat tangkap kita. Allah SWT tahu apa yang kamu lakukan.

“Selalu kita ingatkan bahawasanya soal kamu makan daripada harta yang haram ini, walaupun nampak banyak, tidak ada keberkatan, lebih-lebih lagi apabila tengok apa yang terjadi kepada orang yang makan rasuah yang mengakibatkan keluarga mereka, generasi mereka, zuriat mereka, terdiri dari kalangan orang-orang yang bermasalah.

“Sebab apabila dia beri makan kepada keluarga dia, makan harta-harta yang haram, walaupun nampak hartanya banyak, tetapi kita melihat keberkatan itu diangkat oleh Allah, dia sentiasa merasa tidak cukup.

“Kemudian, orang yang dapat harta rasuah ini, kita lihat pengakhiran hayat hidup mereka, keluarga mereka porak peranda, ada harta, tapi anak-anak bergaduh dalam soal menuntut harta.

“Puncanya adalah daripada harta rasuah ini sendiri,” jelasnya panjang lebar.

Seterusnya kata Ustaz Idris, dalam usaha memerangi rasuah, pendidikan adalah elemen penting dalam mendidik anak bangsa supaya menjauhi jenayah tersebut.

Tambahnya, pelbagai pihak memainkan peranan penting termasuk para pendidik seperti guru, pensyarah, guru agama, penceramah, dan pendakwah dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat dan anak bangsa mengenai bahaya rasuah.

Ini supaya anak bangsa dan anak muda hari ini apabila menjadi orang-orang ternama dan pemimpin negara suatu hari nanti akan menjadi insan yang berguna, katanya lagi.

Terdahulu, Malaysia dilaporkan jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam CPI Transparency International (TI) pada 2020 berbanding sebelum ini Malaysia berada di kedudukan ke-51 pada 2019.

Menurut Presiden TI Malaysia, Dr. Muhammad Mohan, kedudukan Malaysia menurun ekoran beberapa kes berprofil tinggi.

Jelas beliau, antara faktor lain adalah akses terhad kepada maklumat mengenai perkara kepentingan awam, skandal daging tidak halal, kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh penjawat awam yang berterusan, perkembangan atau kemas kini kes berprofil tinggi yang terhad dan kerajaan masih belum membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Awam.

Katanya, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -