
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memperkemas semula prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelajar ke universiti itu susulan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa menyediakan garis panduan lengkap kemasukan pelajar secara berperingkat yang akan bermula 22 Mac ini.
Menurut beliau, garis panduan tersebut bagaimanapun akan disesuaikan semula dengan enam kategori pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus bermula 1 Mac.
“Dalam situasi pandemik yang semakin merucing sekarang apa sahaja keputusan yang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pelajar selepas Perlis turut dikategori status zon merah.
“Pemakluman khusus berhubung kemasukan pelajar ke UniMAP akan dikeluarkan sebaik sahaja menerima kata putus status pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir 4 Februari ini,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan enam kategori pelajar pendidikan tinggi boleh kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac ini.
Menurutnya perkara itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan beberapa sesi libat urus, kajian dan penilaian yang dijalankan dengan pihak berkepentingan.
Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.
Selain itu membabitkan pelajar yang tidak ada akses dan persekitaran tidak kondusif bagi pengguna PdP dalam talian.
Dr. R Badlishah juga berkata, secara keseluruhannya UniMAP menyambut baik keputusan tersebut dan sentiasa memberi kerjasama erat demi memastikan kebajikan pelajar.
Manakala Timbalan Naib CanselorAkademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Rizal Arshad berkata, pihaknya menjangkakan sekitar 50 peratus pelajar UniMAP akan berada di kampus bagi mengikuti pelajaran secara hibrid. – HARAKAHDAILY 1/2/2021











