Sambutan T’ganu Hijab Day dengan norma baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu terus menganjurkan Sambutan Terengganu Hijab Day (THD) dengan norma baharu.

Pengerusinya, Wan Nur Sakinah Din berkata, THD yang dianjurkan bermula 2019 diteruskan dengan metod secara atas talian sesuai dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Katanya, penganjuran THD untuk menyedarkan mayarakat tentang kewajiban menutup aurat dengan sempurna.

“Selain itu, kita juga nak menggalakkan masyarakat khususnya kaum wanita Islam untuk bertudung dengan lebih sempurna mengikut syariat Islam, di samping untuk menyatakan sokongan terhadap kempen World Hijab Day serta menyedarkan masyarakat mengenai kempen tersebut.

“Oleh kerana dunia sedang berdepan dengan wabak sekarang ini, kami tambahkan satu lagi objekti baharu iaitu menggalakkan generasi muda untuk menjalankan aktiviti dakwah jalanan kepada masyarakat umum walaupun secara norma baru,” ujarnya dipetik Terengganu Darul Iman News (TRDI News).

Menurutnya lagi, kempen yang bermula hari ini berlangsung selama sebulan di mana kemuncaknya pada 13 dan 15 Februari.

Beliau berkata, antara program yang dirancang ialah pertandingan selfie and wefie (swafoto) dan video pendek, live sharing with influencer (perkongsian secara atas talian bersama pesohor) serta video-video berkaitan hijab daripada wanita.

“Paling istimewa, kita akan bawakan selebriti dan insta-famous (pesohor Instagram) dalam sesi perkongsian atas talian kita, kalau nak tahu siapa, kena ikuti hebahan di halaman rasmi Nisa’ Terengganu,” ujarnya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru golongan wanita di negeri itu mengambil bahagian dalam gelombang THD itu menyertakan tanda pagar Terengganu Hijab Day, Sempurnakan Auratmu dan End Hijabophobia di media sosial masing-masing.

THD adalah sambutan tahunan pada 1 Februari anjuran Nisa’ Negeri Terengganu dengan kerja sama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita (ADUN) Terengganu dan Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES). – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -