
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) terus komited di dalam usaha meringankan beban lebih 450,000 pekebun kecil getah, kata menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, ini terutama semasa keadaan ekonomi yang mencabar pada tahun lalu dan impak wabak Covid-19 yang masih menular sehingga kini.
Menurutnya, program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan penggunaan aplikasi RRIMniaga adalah antara inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah.
Tambahnya, ia juga bagi memastikan aktiviti pengeluaran produk komoditi itu diteruskan, di samping menstabilkan pendapatan pekebun kecil.
“Untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta bagi IPG pada tahun 2021 iaitu pertambahan sebanyak 100 peratus berbanding peruntukan pada tahun lalu (RM150 juta),” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sepanjang tahun 2020, sebanyak 30.16 peratus daripada keseluruhan pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) telah menuntut IPG.
Jelasnya, peratusan menuntut IPG dijangka akan meningkat pada tahun ini dengan penggunaan aplikasi RRIMniaga oleh peraih/pembeli getah yang telah diwajibkan mulai 1 Januari 2021.
“Aplikasi ini membolehkan IPG disalurkan terus kepada pekebun kecil tanpa proses permohonan manual,” ujarnya.
Tambahnya, peratusan pekebun yang aktif mengemukakan tuntutan adalah seramai 135,632 daripada keseluruhan 495,296 pemegang kad PAT-G.
Jumlah itu, katanya membabitkan kebun getah seluas 294,095.79 hektar.
Jelasnya, dengan bantuan IPG, anggaran pendapatan pekebun kecil diunjur meningkat sebanyak 25 peratus daripada RM933 kepada RM1,167 sebulan.
Ini, tambahnya berdasarkan kepada purata pemilikan kebun seluas dua hektar dan harga getah cuplump di ladang sebanyak RM2 sekilogram.
Katanya, kerajaan tidak pernah berhenti malah akan terus membantu golongan pekebun kecil khususnya dalam keadaan harga pasaran getah rendah.
“Diharapkan dengan usaha kerajaan ini, kesan ekonomi semasa dan wabak Covid-19 kepada pendapatan pekebun kecil getah dapat dikurangkan, sekali gus menjaga kesejahteraan mereka yang merupakan akar umbi industri getah Malaysia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/1/2021











