
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan pilihan raya kampus secara dalam talian (e–voting) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, pelajar dapat mengundi dari rumah masing-masing tanpa perlu ke pusat pengundian di kampus.
Katanya, penyediaan platform undian dengan kawalan keselamatan digital yang tinggi daripada Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) universiti itu.
“Pemilihan secara demokrasi dan telus melalui kaedah berkenaan membolehkan setiap pelajar universiti sama ada berada dalam atau luar kampus mengundi serta memilih calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu 2020/2021.
“Pemilihan MPP kali ini menyaksikan buat pertama kali kerusi Pusat Perumahan Pelajar dipertanding bagi memastikan keupayaan kepimpinan pelajar dapat diterapkan secara menyeluruh,” katanya ketika pengumumam keputusan pemilihan MPP UniMAP sesi 2020/2021 secara dalam talian hari ini.
Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, Ketua Pegawai Digital DMDC Prof. Ir. Dr. Anuar Mat Safar.
Selain itu Pengarah Pusat Pembangunan Dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Muzammil Jusoh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa UniMAP (JPPM) Muhammad Sufian Mohd Nizam.
Dr R Badlishah juga berkata, pada pemilihan kali ini sebanyak 27 kerusi dipertandingkan yang terdiri daripada tujuh kerusi konstituensi umum, 18 kerusi konstituensi pakulti dan dua kerusi konstituensi khas, manakala satu kerusi lantikan secara terus oleh Naib Canselor.
Seramai 16 calon telah bertanding bagi kerusi konstituensi umum dimenangi Abdul Khalim Al Azizi Syahril, Nurhani Nabila Mohd Noordin, Mohd Farihsan Zamzuri, Nur Ainun Sakina Idrus, Nur Shazmeen Zamzuri, Ahmad Baihaqi Mohamad Zaki, dan Suriyarao A/L Raman Naidu.
“Tahniah diucap dan tunaikan amanah sebaiknya kerana realiti tanggungjawab mengemudi MPP perlu seiring dengan perasaan menghormati universiti.
“Di samping itu sokongan semua pihak amat diperlukan supaya barisan MPP dapat menterjemahkan hasrat kementerian iaitu Universiti Untuk Masyarakat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 29/1/2021











