
JELI: Dua penyeludup menggunakan permit rentas negeri menyeludup daun ketum sanggup merempuh dua sekatan jalan raya (SJR) polis di Sungai Lebey, Gerik dan Batu Melintang, Jeli malam tadi.
Pada kejadian jam 7.45 malam dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dari arah Gerik menuju Jeli dengan membawa muatan sebanyak 415 kilogram daun ketum.
Ketua Polis Kelantan, Dato Shafien Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menerima maklumat daripada IPD Gerik mengenai sebuah kenderaan melanggar SJR di Gerik sedang menghala ke Jeli.
Kata beliau pada jam 8.30 malam kenderaan suspek melalui SJR di Jeli sebelum diarah berhenti, namun suspek memecut dan melanggar SJR.
“Ekoran itu anggota polis bertindak mengejar suspek sejauh 10 kilometer dan pada jam 9 malam kenderaan suspek terbabas di hadapan sebuah stesen minyak. Kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Jeli di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Ahmad Arifin.
Jelasnya pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek menemui sejumlah daun ketum, dua biji pil disyaki dadah serta sebilah kapak.
Katanya kedua-dua suspek merupakan penduduk tempatan yang didapati positif dadah jenis Methamphemtamin serta mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah.
“Kesemua daun ketum yang dirampas bernilai sekitar RM4,170. Bagaimanapun, harga RM18 bagi satu kilogram yang diperolehi di Kedah boleh meningkat kepada RM50 sekilogram.
Kedua suspek ditahan reman selama empat hari bermula 29 Januari hingga 1 Februari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahagian Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1985 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya.
Shafien berkata, kedua-dua suspek dikatakan menyewa kenderaan itu daripada seorang individu di Kota Bharu dan menyalahgunakan permit rentas negeri atas urusan perniagaan barang alat ganti kenderaan. – HARAKAHDAILY 29/1/2021











