Covid-19: Kembalikan Perlis kepada status hijau

- Advertisement -

ARAU: Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengekang penularan semula wabak Covid-19 apatah lagi mengelakkan risiko penyebaran di dalam komuniti.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, segala pematuhan SOP yang diamalkan di dalam masjid, haruslah diterjemahkan di luar, dalam urusan seharian.

Baginda amat yakin bahawa seluruh rakyat negeri itu sentiasa matang dan berhikmah dalam sebarang tindakan dan perilaku.

- Advertisement -

“Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis kepada seluruh rakyat yang amat baginda kasihi, agar sentiasa berusaha mengembalikan negeri Perlis yang tercinta kepada status hijau.

“Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis senantiasa berdoa kepada Allah SWT agar negeri dan negara ini kekal aman, selamat dan membahagiakan setiap warganya,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), semalam. Kenyataan itu turut disiarkan menerusi laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

Dalam pada itu, kehadiran jemaah solat fardu di masjid dibenarkan mengikut kapasiti maksimum masjid berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula waktu subuh hari ini hingga waktu Isyak pada 4 Feb atau sehingga tempoh baharu yang mungkin dikeluarkan.

Menurut baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan situasi semasa penularan Covid-19 di negeri itu semakin terkawal.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu terpakai di masjid dan surau asrama dan jemaah pula dalam kalangan kariah sahaja berusia 15 hingga 59 tahun. – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -