
TANAH MERAH: Kejadian kebakaran di bangunan tambahan Hospital Tanah Merah malam tadi tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau bersyukur kerana kejadian yang berlaku tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan.
“Saya difahamkan oleh pihak pengurusan hospital hanya 30 peratus kebakaran berlaku di bangunan tambahan tersebut.
“Bangunan berkenaan sebenarnya masih lagi dalam proses pembinaan. Saya datang bagi melihat kejadian yang berlaku di samping untuk mendapatkan maklumat mengenainya,” kata beliau ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.
Turut hadir, pegawai Pejabat Kesihatan Tanah Merah dan wakil JKR negeri.
Pada kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 8.40 malam tadi, tingkat tiga bangunan baharu hospital terbabit yang sedang dalam pembinaan, terbakar.
Abdul Fattah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 8.54 malam.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah dan Machang bergegas ke lokasi. – HARAKAHDAILY 18/1/2021











