Kerajaan bina litar latihan dan ujian memandu

- Advertisement -

PAGI ini saya berada di Melaka untuk merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan Dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham bin Ishak dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Dato’ Zailani bin Hashim.

- Advertisement -

5 info mengenai Pembangunan Litar Latihan Dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia ini:

(1) Dapat digunakan sebagai kemudahan latihan asas, pertengahan dan lanjutan untuk menghasilkan standard tenaga pengajar serta penguji yang kompeten lagi profesional setanding dengan negara-negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Singapura.

(2) Selain memberikan kemudahan prasarana kepada agensi-agensi, projek ini juga dapat digunakan secara meluas dalam program jaringan industri. 

(3) Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019 – 2030 di bawah Teras Dasar 3 menggariskan pelaksanaan pendekatan sistem yang selamat (Safe System Approach) untuk keselamatan jalan raya yang merangkumi penyediaan pemandu yang kompeten, mematuhi peraturan dan berhemah. Keperluan pemandu kompeten dan selamat adalah merupakan peranan utama JPJ serta menjadi ‘spirit’ utama yang digariskan di bawah Akta 333.

(4) Pembiayaan projek Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu di Akademi JPJ ini akan menggunakan Dana Akaun Amanah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia dengan kos berjumlah RM2.3 juta dengan keluasan tapak projek seluas 5 ekar. Litar ini dijangka siap pada tahun ini juga.

(5) MOT berbesar hati mendapat kerjasama Kementerian Kerja Raya bagi melaksanakan satu lagi projek yang dapat memberi manfaat kepada semua. Projek pembangunan litar ini juga merupakan projek strategik untuk pihak Kementerian Kerja Raya dalam menyediakan infrastruktur yang bertaraf dunia. 

Dalam masa sama, projek ini juga secara tidak langsung turut memperkasakan pelaksanaan sistem pentauliahan serta akreditasi pengajar dan penguji pemandu yang merangkumi Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), penarafan akreditasi dengan badan profesional serta pelaksanaan ‘refresher course’ kepada Penguji dan Pengajar serta pemandu kenderaan komersil.

Justeru itu, saya percaya bahawa pembangunan prasarana seperti ini mampu memberikan impak yang besar dalam merealisasikan organisasi ke arah memperkasa sistem latihan, pengujian dan pelesenan pemandu yang efisien bagi melahirkan pemandu kenderaan motor yang kompeten dan selamat, seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 5/1/2021

- Advertisement -