Sambut Tahun Baharu 2021 dengan ‘hablumminallah’

- Advertisement -

MARAN: Muslimat PAS Kawasan Maran memimpin kehadiran tahun baharu 2021 dengan alternatif lebih bermanfaat menerusi penganjuran Munajat AKIFI di Masjid As-Syakirin, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Maran, Saholyatul Akma Jusoh berkata, seharusnya sebarang keraian seperti kedatangan tahun baharu 2021 ini perlu disambut dan dimulakan dengan mengingati Allah.

Menurutnya, Allah sewajibnya diletakkan di hadapan semua tindakan kerana tiada yang lebih utama dari mengingati sebagai sebaik-baik tempat pergantungan, lebih-lebih lagi ketika negara diuji dengan pandemik COVID-19.

“Pelbagai cara boleh dilakukan dengan mengingati Allah iaitu memperbanyakkan solat, tasbih dan tahmid serta memohon keredhaan Allah S.W.T agar kita terhindar dari wabak ini,” kata beliau lagi.

Program Munajat AKIFI ini dimulai dengan solat hajat berjamaah, bacaan surah Yaasiin dan zikir munajat dipimpin langsung oleh Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Beliau yang juga merupakan Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia turut menyampaikan taujihat membangkitkan semangat para hadirin dengan sentiasa rasa takut kepada Allah S.W.T.

Katanya, rasa takut kepada Allah menjadi penghalang daripada melakukan segala yang terlarang, sebaliknya berusaha untuk menjalankan tanggungjawab lebih baik sebagai khalifah.

Tambah beliau, dalam usaha mendapatkan keredhaan Allah mestilah terus beramal dengan amalan yang diwahyukan, selain sentiasa perlu berasa cukup dan redha dan bersangka baik serta bersedia kepada kematian.

Program tarbiyah yang biasanya dihadiri oleh ahli-ahli PAS ini turut disertai Ketua Wanita Umno Bahagian Maran,  Datin Sri Dato’ Fatimah Kassim dan rombongannya serta ADUN Luit, Sopian Abd Jalil daripada PAS.

Sofian dalam ucapannya turut mengingatkan agar sentiasa menjaga hubungan dengan Allah S.W.T dalam menjalani kehidupan harian. – HARAKAHDAILY 3/1/2020

- Advertisement -