
BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor bertegas agar Kerajaan Johor membanteras semua aktiviti perjudian secara holistik dan menyeluruh. Cadangan ini sebagai bukti kelestarian PAS istiqamah membanteras semua aktiviti perjudian yang merosakkan rakyat secara halus. Umum mengetahui judi tidak membawa sebarang kebaikan dan tiada agama di dunia membenarkan penganutnya mengamalkan judi.
Menjadi parti yang membentuk kerajaan hari ini seharusnya memberi ruang yang lebih besar kepada PAS untuk merealisasikan impian dan cita-cita membersihkan negara dan rakyat dari terus terjebak terjerumus dan terperangkap dengan bahaya judi:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ
“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu (lantaran meminum khamar dan berjudi itu).”
(al-Maidah: 91)
PAS Johor mencadangkan 5 perkara:
(1) Tiada pembaharuan lesen judi.
(2) Tiada lesen judi yang baru.
(3) Menutup pusat judi yang ingkar arahan dan melanggar peraturan.
(4) Mengambil tindakan lebih tegas terhadap orang Islam yang berjudi.
(5) Manfaatkan media kerajaan untuk didik rakyat secara kerap mengenai haram dan mudarat berjudi.
PAS menyeru dan mengajak semua rakyat bersama berganding bahu membantu kerajaan dan penguat kuasa untuk sama-sama membanteras, menghapus dan mendidik.
Sesungguhnya usaha mulia ini perlukan sokongan segenap lapisan tanpa mengira agama dan bangsa. PAS juga berkeyakinan keterlibatan dan penggemblengan tenaga dari semua termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan akan memastikan bangsa Johor bebas judi.
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)
03 Januari 2021 | 19 Jamadil Awal 1442 – HARAKAHDAILY 3/1/2021











