Nafas salur RM580,000 bantu pelajar golongan asnaf

- Advertisement -

TUMPAT: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyalurkan peruntukan sebanyak RM580,000 bagi membantu golongan asnaf yang tidak berkemampuan membuat persiapan awal persekolahan anak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, program yang dinamakan ‘Back To School’ itu merupakan tanggungjawab sosial korporat agensi itu.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan dalam bentuk kupon tersebut bernilai RM100 untuk diagih kepada lebih 3,000 penerima yang terdiri daripada golongan petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.

- Advertisement -

“Kita akan menyampaikan kupon bantuan persekolahan ini secara berperingkat-peringkat kepada semua penerima yang layak dan memerlukannya, sebelum sesi persekolahan bermula yang dijangka pada 20 Januari ini.

“Dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir diharap bantuan yang disampaikan sedikit sebanyak dapat membantu penerima membuat persiapan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan Back To School Peringkat Parlimen Tumpat anjuran Nafas yang diadakan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat; Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan; Adun Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah dan Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Dato’ Nazilah Abd Latif.

Bagi peringkat Parlimen Tumpat pula kata Che Abdullah pertubuhan tersebut memperuntukkan sebanyak RM45,000 yang diberi kepada 450 penerima kupon pembelian bernilai RM100 seorang.

Menurut beliau, hasil tersebut merupakan sebahagian keuntungan Nafas daripada perniagaan yang bukan sahaja dikembalikan kepada lebih 900,000 ahlinya, malah turut dikongsi bersama-sama rakyat yang memerlukan.

“Semoga segala usaha kita membantu dan membela nasib pelajar-pelajar dalam kalangan anak-anak yang kurang berkemampuan ini dapat menggembirakan bagi memulakan sesi persekolahan yang baru tahun ini.

“Pendidikan merupakan keperluan penting dan berterusan bermula dari peringkat rendah ke peringkat lebih tinggi dapat membuka peluang pekerjaan yang cerah seterusnya menjamin kehidupan yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -