
PAYA BESAR: ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya telah menyempurnakan serahan kunci unit kediaman baharu kepada pemilik, Sanusi Ahmad di Kampung Pandan 1, di sini semalam.
Inisiatif di bawah Rumah Rakyat Pahang (RRP) ini merupakan projek digagaskan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membantu kalangan rakyat negeri ini yang memerlukan kediaman.
Ustaz Tarmizi melakukan simbolik untuk pemilik memasuki rumah baharu ini dengan bacaan doa, ucapan ringkas dan penyerahan replika kunci serta memotong riben pada majlis ringkas itu.
Turut hadir adalah Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Kuantan, Nur Naja Nabila Mohammad dan Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Roslan Amat serta Ketua Kampung Pandan 1, Ishak Mat Arib.
Dalam ucapan ringkas Ustaz Tarmizi, beliau mewakili penduduk DUN Panching merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Wan Rosdy atas inisiatif RRP dan berharap lebih banyak projek seumpama untuk manfaat rakyat.
Beliau juga menghargai keprihatinan dan perhatian pihak-pihak terlibat terutama para pegawai dari Pejabat Daerah Kuantan yang selalu hadir melawat dan memantau proses pembinaan kediaman tersebut.
“Gunakan rumah ini dengan baik. Jadikan rumah ini biah solehah. Hidupkan dengan membaca al-Quran, solat dan sebagainya. Serta jadikan tempat-tempat ibadah,” peringat beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang.
Majlis turut dihadiri wakil Pegawai Jabatan Pertanian Kuantan, Amir Dzulfadli Samad ini juga telah menyerahkan beberapa jenis anak pokok antaranya durian, kelapa, limau bersama pasu dan baja.
Ianya di bawah inisiatif tanaman bandar yang merupakan antara dasar negeri iaitu menggalakkan tanaman di sekeliling kediaman penduduk. – HARAKAHDAILY 31/12/2020














