
RAUB: Alternative Riding Club (ARC) PAS Kawasan Paya Besar yang mengadakan Konvoi Ziarah Amilin di seluruh negeri ini sempat singgah di Taman Shahbandar, di sini kelmarin dahulu.
Kehadiran seramai 12 anggota itu telah berkunjung ke kediaman Setiausaha PAS Kawasan Raub, Ustaz Mohd Helmy Harun, 42 yang mengalami strok dan sudah 3 minggu tidak dapat mengurus diri.
Ketika ini keadaan bapa kepada lima cahaya mata ini amat memerlukan bantuan di mana segalanya diurus oleh isteri beliau, Zafirah Zainuddin yang juga Ketua Ameerah Raub.
Program dipimpin ADUN Pancing, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya ini bertujuan menziarahi dan mendekati para amilin PAS yang sedang menghadapi ujian di samping menyampaikan bantuan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang turut disertai Ketua Penerangan Muslimat PAS Pahang, Yusma Yusuf dan Ketua Muslimat PAS Raub, Habidah Saleh serta Ketua Penerangan Muslimat PAS Raub, Jariah Ismail.
Menurut Habidah, kehadiran rombongan telah memberi semangat kepada pesakit dan sokongan kepada isteri serta ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat sekitar umumnya.
“Ia melambangkan keprihatinan pihak pimpinan kepada para amilin yang tentunya meninggalkan kesan sangat positif,” ujar beliau.

Pada hari sama, Ameerah Pahang turut mengadakan kunjungan kepada keluarga ini menyampaikan sumbangan infak yang dikumpulkan daripada ahli Ameerah Kawasan seluruh negeri ini.
Ketika ini, keadaan Ustaz Helmy yang sebelum ini aktif dalam mendukung kuat kerja-kerja jemaah perlu diuruskan sepenuhnya oleh Zafirah sejak keluar daripada hospital.
Bendahari Ameerah Pahang, Nor Jalilah Abdul Karim berkata, sumbangan ini diharap meringankan beban dan dapat membantu keluarga ini menghadapi ujian Allah yang hakikatnya tanda kasih sayang Allah kepada hamba untuk menaikkan darjat di sisi-Nya.
“Tiada hamba yang tidak diuji Allah dan ziarah ini sepertimana sabda Nabi S.A.W tidak lain adalah akan menambah kasih sayang kerana perumpamaan orang Islam itu bagaikan satu tubuh dan sesuai firman Allah bahawa sesama Mukmin ini bersaudara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2020











