Majlis Keharmonian Krismas pupuk perpaduan kaum

- Advertisement -

SANDAKAN: PAS Kawasan Sandakan dengan kerjasama Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sandakan buat julung kalinya telah menganjurkan Majlis Keharmonian Krismas yang diadakan di Sri Taman, dekat sini semalam.

- Advertisement -

Selain memupuk perpaduan kaum, majlis itu diadakan bagi meraikan penduduk beragama Kristian yang bakal menyambut perayaan Hari Krismas pada Jumaat ini.

Pihak penganjur telah menyerahkan hadiah berbentuk kuih muih dan keperluan makanan yang disampaikan kepada pengunjung yang hadir ke majlis tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid menyatakan bahawa PAS sentiasa berkomitmen tinggi untuk memelihara perpaduan kaum dan integrasi nasional di negeri ini.

Menurutnya, tuduhan daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mengatakan PAS adalah perkauman hanyalah spekulasi murahan, sebaliknya PAS adalah parti mesra seluruh kaum dan agama.

“Tak kenal maka tak cinta, itulah yang berlaku hari ini kepada PAS dan kita bersyukur kerana apabila kita mendekati semua kaum dan agama ternyata PAS diterima dengan penuh terbuka,” ujar Yang Dipertua PAS Sandakan itu ketika berucap di majlis berkenaan.

Beliau memberi contoh negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir PAS tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum mahupun agama dalam mengadakan pembangunan di negeri berkenaan.

“Di Kelantan ada patung Buddha terbesar di Asia Tenggara, ini menunjukkan PAS tidak perkauman dan apa kita buat di sana itu jugalah yang kita akan bawa di sini demi menjamin perpaduan masyarakat majmuk,” katanya.

Ahli Majlis Perbandaran Sandakan itu juga menyeru orang ramai untuk menyertai DHPP yang terdiri daripada ahli bukan-Islam dengan menyokong perjuangan Islam dibawa PAS.

Dalam majlis itu juga, Sahar sebagai mewakili kepimpinan PAS Sandakan telah merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada penduduk Sandakan yang meraikannya.

Beliau mengingatkan dalam meraikan kegembiraan, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 perlu sentiasa diamalkan bagi membendung wabak ini merebak lebih luas.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan Penasihat DHPP Sandakan, Dato’ Saiful Bahari Rashada dan Ketua DHPP Sandakan, Isaac Wong. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -